Apabila menyebut tentang off-road, nama Peugeot memang langsung tidak akan terlintas di fikiran sesiapa pun namun kehadiran model konsep 3008 ini mungkin dapat mengubahnya.

Jentera ini dibina sendiri oleh syarikat dari Perancis itu, tetapi jangan salah sangka kerana ia hanya akan digunakan untuk satu paparan khas di dalam majalah Top Gear dan bukannya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan. Sekurang-kurangnya bukan untuk dalam masa terdekat ini.



Menggunakan varian GT Line dengan enjin turbo 1.6 liter sebagai asas, model konsep ini dilengkapi dengan tayar off-road Cooper AT3 yang dipadankan dengan rim besi berukuran 17 inci, serta ‘skid plate’ hadapan yang bertindak sebagai pelindung bahagian bawah badan.

Peugeot turut menambah lampu LED pada bahagian bumbung, manakala rak aluminium dan khemah ARB Simpson menghasilkan ruang tidur yang selesa sekiranya pemandu perlu bermalam di dalam hutan. Selain itu, terdapat juga rak basikal pada bahagian belakang.



Apa yang menarik, 3008 ini bukan sekadar model konsep kerana kebolehannya sudah pun terbukti di laluan trek yang mencabar di bahagian utara Ho Chi Minh di Vietnam.

“Model one-off ini adalah contoh praktikaliti dan keupayaan off-road SUV terlaris kami. Dengan beberapa pengubahsuaian kecil, 3008 ini berjaya mengharungi beberapa laluan sukar, membuktikan keberkesanan teknologi Advanced Grip Control dan menunjukkan potensi outdoor sebenarnya,” kata David Peel, pengarah urusan Peugeot UK.