Bagi membantu melancarkan perjalanan pelanggan di plaza tol ketika keluar dari lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memutuskan untuk menutup perkhidmatan tambah nilai Touch 'n Go di semua lorong keluar di plaza tol di lebuh raya seliaannya bermula esok.

Langkah itu adalah pendekatan yang diambil untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol di Wilayah Utara (melibatkan laluan Hutan Kampung – Ipoh Utara) dan Wilayah Selatan (di antara Seremban dan Skudai).

Bagaimanapun, Pusat Khidmat Pelanggan di sesetengah plaza tol dan Lorong Tambah Nilai di Lorong Masuk di plaza tol terpilih masih disediakan dan beroperasi seperti biasa.

Menurut rekod PLUS, sebanyak lapan peratus daripada 253,000 purata trafik harian di wilayah utara dan sembilan peratus daripada 189,000 purata trafik harian di wilayah selatan tidak mempunyai baki yang mencukupi untuk melaksanakan transaksi tol di lorong keluar.

Ini menyebabkan perjalanan pelanggan yang lain kerap terganggu kerana setiap transaksi tambah nilai akibat baki rendah boleh mengambil masa sehingga 3 minit untuk setiap kenderaan.

Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol juga bertujuan meningkatkan keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan membabitkan kenderaan berat merempuh pondok tol kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Antara tahun 2016 hingga 2018, terdapat 81 kes di mana kenderaan berat merempuh pondok tol yang dikendalikan oleh pembantu perkhidmatan pelanggan.

Terdahulu, PLUS sudah melaksanakan inisiatif ‘Tiada Tambah Nilai’ di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah di antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan sejak 1 Ogos yang lalu.

Selepas tiga bulan pelaksanaan inisiatif itu, PLUS berjaya merekodkan pengurangan melebihi 60 peratus membabitkan kesesakan trafik dan jumlah kenderaan yang beratur untuk menambah nilai di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah.

Justeru, pelanggan PLUS dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa kad Touch 'n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

PLUS bersama Touch ‘n Go Sdn Bhd akan memastikan semua kiosk tambah nilai Touch 'n Go berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

Ketika ini, lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai yang disediakan oleh Touch ‘n Go di seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat beli-belah.