Hiburan
Siti Nurhaliza Segan Dipanggil Biduanita, Tetap Sama Macam Dulu - "Tak Mengubah Apa-Apa Mengenai..."
Selepas menerima anugerah Biduan Negara, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza akui dirinya segan dipanggil dengan gelaran Biduanita.
Menurut penyanyi nombor satu negara, gelaran yang diterimanya itu tidak mengubah apa-apa tentang dirinya.
Jelasnya, dia masih seorang Siti Nurhaliza yang mempunyai tanggungjawab sebagai isteri,ibu,penghibur dan usahawan.
"Tak mengubah apa-apa mengenai Siti Nurhaliza pun."
"Segan sebenarnya dengan gelaran Biduanita, panggil saja Siti macam biasa. Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dalam rumah tangga.
"Saya juga masih menjual barang di TikTok kerana itu adalah tanggungjawab," ujar Siti kepada Gempak.
Bagaimanapun pelantun lagu Sejarah itu menyatakan menghormati mereka yang menggunakan gelaran itu saat memperkenalkan namanya di acara-acara formal yang dihadiri.
Sementara itu, pemilik nama Siti Nurhazlia Tarudin,45, juga mengingatkan kepada peminat dan orang sekeliling untuk tidak segan mendekati dan menyapanya.
"Dari segi penerimaan orang ramai, ada yang mulakan acara akan menyebut dahulu gelaran Biduanita Negara dan sebagainya. Itu sajalah beza. Yang lain saya rasa tak adalah terlalu banyak perbezaan.
"Sama saja. Kalau saya pergi bekerja, tetaplah sama. Cuma, apabila mereka memperkenalkan nama saya, adalah ditambah dengan gelaran. Untuk pertama kali itu rasa macam, 'Alamak, tak payahlah'.
"Biasanya saya lebih selesa orang panggil Siti Nurhaliza, tapi untuk mereka menghormati anugerah itu, saya hormatlah.
"Nanti, orang cakap tak bersyukur dan tak menghargai pula kan? Macam mana peminat nak memanggil saya, saya serahkan kepada mereka. Tak mengubah apa-apa mengenai Siti Nurhaliza pun.
"Yang mereka kenal, sama saja. Tak perlu pun mereka nak rasa segan nak dekat atau apa. Macam mana mereka kenal saya, itulah saya," katanya.
Terdahulu, Siti Nurhaliza telah dianugerahkan Anugerah Khas Biduan Negara 2024 dan membawa gelaran Biduanita Negara
Penyampaian anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar.
Menerusi Anugerah Khas Biduan Negara, Siti membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, watikah penganugerahan, trofi Biduan Negara, sepersalinan songket dan sebagai seniman tamu Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya.
Must-Watch Video