Selain klasik dan unit yang terhad, Porsche 911 Carrera 3.0 RSR IROC ini mempunyai sejarah pemiliknya yang tersendiri.

Jentera buatan 1974 ini pernah dimiliki raja dadah Columbia, Pablo Escobar yang menggunakannya untuk berlumba di negara berkenaan dengan penampilan Porsche 935.


Namun pada awal tahun 1990-an, kereta itu dibawa semula ke Amerika Syarikat dan diubah suai semula kepada penampilan asalnya.

Sebelum Escobar, pemilik asal Porsche itu adalah Roger Penske dan ia pernah dipandu oleh pelumba Formula 1, Emerson Fittipaldi.


Selepas itu, ia dijual kepada John Tunstall yang menyertai perlumbaan IMSA membabitkan Daytona 24 Jam dan Sebring 12 Jam.

Untuk makluman, hanya 15 unit Porsche 911 Carrera 3.0 RSR IROC yang dihasilkan pada 1974. Ia juga mempunyai sentuhan unik dengan padanan spoiler belakang yang sedikit besar dan pelindung lampu hadapan hitam matte.


Kondisinya pula, keadaan cat masih lagi dalam keadaan baik, cuma mempunyai calar yang minimum. Tiada kerosakan pada badan dan juga tidak berkarat.

Jentera itu dijual secara bidaan dan ketika artikel ini ditulis, harganya sudah mencecah USD 851,500 (RM3.55 juta). Proses bidaan di collectingcars.com itu bakal tamat kurang daripada 24 jam. Pastinya harga itu akan naik pada hujung bidaan nanti.