Porsche mengumumkan penawaran transmisi manual tujuh kelajuan untuk 911 Carrera S dan 4S bagi pasaran Eropah.

Ia boleh dipesan tanpa sebarang kos tambahan sebagai alternatif kepada kotak gear PDK lapan kelajuan.



Transmisi manual terbabit didatangkan secara standard dengan pakej Sport Chrono, berserta Porsche Torque Vectoring (PTV) dan ‘differential’ mekanikal pada gandar belakang.

Turut disertakan bersama pakej Sport Chrono adalah ciri pemadanan rev automatik (automatic rev-matching) yang membolehkan pemandu menurunkan gear dengan lebih lancar.



Selain itu, pakej tersebut turut merangkumi pelbagai kelengkapan sporty lain seperti cagak enjin dinamik, mod PSM Sport, suis mod pemanduan pada stereng, jam randik dan aplikasi Porsche Track Precision.

Menurut Porsche, 911 Carrera S manual boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam 4.2 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 308km/j. Ini menjadikannya 0.7 saat lebih perlahan berbanding versi PDK walaupun lebih ringan sebanyak 35kg.



Selain penawaran kotak gear manual, model tahun 2020 juga boleh didapati dengan Porsche InnoDrive yang adalah penambahan kepada ciri Adaptive Cruise Control sedia ada. Dengan menggunakan data navigasi, sistem ini mampu mengoptimumkan kelajuan kenderaan untuk tiga kilometer seterusnya.



Selain itu, fungsi Smartlift pula berfungsi dengan mengangkat bahagian hadapan kereta setinggi 40mm. Sistem ini boleh menyimpan koordinat GPS dan akan mengangkat bahagian hadapan secara automatik apabila pemandu melalui jalan yang sama sekali lagi.

Turut ditawarkan adalah pakej upholsteri kulit 930 yang diinspirasikan oleh 911 Turbo (Type 930) dan warna baharu Python Green.