Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Porsche 911 Turbo S Exclusive Manufaktur-Ikut Citarasa Pengguna

Erywan
13/04/2020 04:19 MYT
Apabila seseorang itu membeli kereta mewah, mereka diberi pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan personalisasi yang mencermikan gaya tersendiri.

Perkhidmatan ini biasanya ditawarkan oleh divisyen atau program khas yang diwujudkan di bawah sesuatu jenama itu.

Sebagai contoh, Ferrari mempunyai program Tailor Made, Lamborghini mempunyai Ad Personam manakala Porsche pula mempunyai Exclusive Manufaktur. Divisyen-divisyen inilah yang menyediakan pelbagai kelengkapan dan spesifikasi tambahan yang membuatkan kenderaan pelanggan mereka unik dan lain dari yang lain.



Porsche 911 Turbo S oleh Exclusive Manufaktur yang ditampilkan ini menunjukkan bagaimana pembeli boleh menjadikan pilihan mereka lebih menonjol di jalan raya.

Unit contoh ini menampilkan warna klasik Guards Red yang boleh didapati tanpa sebarang kos tambahan. Ia dipadankan dengan kemasan hitam berkilat pada bahagian bampar dan di sekeliling tingkap sisi.



Tidak seperti versi standard, unit ini memakai rim Exclusive Design berukuran dengan spoker berbentuk ‘U’ berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang. Penyudah warna hitam berkilat adalah antara beberapa pilihan yang ditawarkan untuk rim tersebut.

Di dalam, warna merah yang sama digunakan untuk menghiasi konsol tengah, papan pemuka, panel instrumen dan jam Sport Chrono. Sudah tentu, lebih banyak aksesori lain yang boleh dipilih oleh pelanggan jika mereka sudi mengeluarkan belanja yang besar.



Ini tidak termasuk pakej Lightweight dan Sport yang akan ditawarkan kelak. Berbanding pilihan yang ditawarkan oleh Exclusive Manufaktur, pakej-pakej tersebut akan memberi kelebihan dari segi prestasi.

Bercakap tentang prestasi, 911 Turbo S dikuasakan oleh enjin 3.8-liter enam silinder yang menghamburkan 600hp dan 800Nm dengan bantuan dua pengecas turbo. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 2.7 saat sahaja.

;