Modifikasi Proton Preve sebenarnya agak kurang jika dibandingkan dengan model Proton yang lain. Mungkin ada yang berpendapat untuk membikin jentera itu sangat sukar jika mahu dibandingkan dengan model Proton Wira atau Satria.

Maklumlah, ubah suai Proton Wira sebenarnya mudah sedikit kerana boleh masuk komponen Mitsubihsi Evolution (Evo) dari generasi pertama sehinggalah ke tiga.



Jika anda memiliki Preve dan mahu melakukan modifikasi, jentera dalam ruangan kali ini boleh menjadi inspirasinya.

Preve keluaran 2015 ini masih mengekalkan bentuk asalnya, tetapi menggunakan enjin yang luar biasa iaitu 4G63T FQ300 daripada Evo 8 MR.



Ia juga menjadi model pertama Preve dengan nadi Evo 8 MR di Malaysia, sekali gus membuatkannya bertambah unik berbanding yang lain.

Buat masa ini, enjin dengan transmisi enam kelajuan manual yang digunakan masih lagi standard. Biarpun standard, tenaga yang dibekalkan daripada enjin itu sebenarnya sudah cukup mantap kerana ia memiliki output melebihi 300hp.



Bagaimanapun, pemiliknya menambah beberapa komponen berprestasi di bahagian luar enjin membabitkan blow-off Turbosmart, wastegate Tial 44mm dan Kawalan Boost Profec Type II Greddy.

Bagi memastikan memberi prestasi lebih baik, sistem ekzos diperkuatkan dengan paip tahan karat tiga inci yang dihujungnya dipadankan peredam HKS.



Bagi menguji berapa kuasa yang ada pada enjin berkenaan, ujian Dyno dilakukan dan mendapati ia menyalurkan output 317hp dengan tork setinggi 389Nm pada Boost 1.3 bar.

Luarannya tidak dibiarkan standard sepenuhnya, tetapi menerima sedikit sentuhan penggunaan kit badan S1K, skirt tepi daripada Rieger, manakala menggunakan spoiler GT.



Bonet yang digunakan juga kelihatan berbeza kerana mempunyai lubang angin yang diwarnakan hitam.

Selain menggunakan warna merah, ia dipadankan rim SSR Type C bersaiz 17 inci yang membuatkannya kelihatan gah dan mantap.



Ruang kabinnya sangat kemas dan teratur selepas tempat duduk ditukar ke kerusi SSCUS Millennium balutan kulit hitam. Selain itu, ruang dalam dilengkapi dengan meter Defi dan menggunakan paparan meter OBD pelbagai fungsi untuk menggantikan meter asal yang tidak berfungsi.

Ternyata ubah suai Preve itu cukup menarik dan tidak terlalu ketara dari segi penampilannya. Pastinya, jentera berkenaan membekalkan tenaga jika menekan pedal pada tahap maksimum.



Buat pengetahuan anda, kos modifikasi jentera yang anda lihat ini sebenarnya mencecah RM30,000 dan ia tidak murah berikutan enjin yang digunakan itu cukup ‘rare’ serta mahal harganya.