Sekiranya lihat pada luaran, mungkin anda menyangka Proton Saga FLX ini tiada beza dengan kereta-kereta yang lain.

Ini berikutan penampilan luarannya seolah-olah standard kerana tiada kit badan yang menonjol untuk membuktikan ia sebuah jentera sudah menjalani proses modifikasi.

Sebenarnya tanggapan anda itu salah dan jika tidak diubah suai dan masih standard, agak mustahil kereta ini disiarkan dalam ruangan modifikasi drebar.my.

Bagi membuktikan ia sebuah jentera yang sudah diubah suai sepenuhnya, drebar.my akan mengupas lebih lanjut apa yang sudah dilakukan pada Proton Saga FLX ini.

Jentera kepunyaan William Low, 28, sebenarnya sudah dibelanja hampir RM25,000 untuk dimodifikasi secara keseluruhan sama ada pada bahagian enjin, transmisi, suspensi, sistem brek dan juga ruang dalaman.

Menurut Low, dia mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan jentera ini yang diubah suai secara berperingkat-peringkat.

Sebaik membuka bonet hadapan, ia masih lagi menggunakan enjin standard tetapi sudah dinaik taraf dengan menukar omboh berprestasi tinggi, selain menggunakan cam pulley, crank pulley dan pengatur bahan api jenama Works Engineering.

Pam bahan api pula menggunakan komponen berprestasi menerusi Walbro 255lph. Sistem ekzos juga dinaik taraf dengan manifold dan paip saluran utama ditukar serta dilengkapi peredam Kakimoto Hyper Rev pada bahagian hujungnya.

Paling uniknya, transmisi jentera ini ditukar daripada kotak gear CVT kepada lima kelajuan manual yang turut dilengkapi sistem LSD binaan khas. Tidak cukup dengan itu, ia menggunakan klac enam kaki serta penutup klac perlumbaan Exedy.

Bagi meningkatkan lagi pengendaliannya, Proton Saga FLX ini dinaik taraf suspensi boleh laras BC Racing serta diperkuatkan kestabilan dengan set lengkap bar Ultra Racing.

Untuk menahan kuasa daripada enjin yang kini sudah mencecah 120whp, sistem hentiannya menggunakan kaliper brek Honda RA6 (Honda Odyssey) yang turut dilengkapi hose tahan karat.

Penampilannya masih lagi standard cuma dilengkapi kit badan SE serta bonet yang mempunyai scoop binaan khas.

Ia juga tampak unik apabila menggunakan rim berbeza iaitu Wedsport TC05 di hadapan, manakala belakang Kosei K1 yang keempat-empatnya dibaluti tayar Yokohama Advan Neova AD08R.

Klik di sini untuk galeri gambar kenderaan ini

Menjengah ruang dalamannya, anda boleh melihat kerusi bucket Recaro untuk pemandu sahaja yang juga dilengkapi tali pinggang merah.

Pada ruang kokpitnya boleh kelihatan stereng Momo dan bahagian papan pemuka dipenuhi pelbagai meter untuk bacaan tekanan minyak, suhu air serta banyak lagi.

Jentera ini menerima hasil tangan Low sendiri yang mana dia juga pemiliki bengkel Wah Thai Car Cooler Centre, Cheras, Selangor.

Baca juga:

>>Proton Juara ini memang ‘champion’.

>>Proton Saga FLX Hello Kitty.

>>Honda CR-Z standard ‘pekak’.