Tempatan
PROTON Terus Cemerlang, Tahun Lalu Catat Lebih 100,000 Unit Jualan.
PROTON menutup tirai 2019 dengan cemerlang apabila syarikat itu sekali lagi mencatat pencapaian penting sepanjang tahun lalu dengan mencatatkan jualan 100,821 unit.
Ia sekali gus mencipta sejarah apabila buat pertama kali jualan syarikat itu berjaya mencecah jumlah 100,000 unit sejak tahun 2015.
Jumlah itu adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 55.7 peratus berbanding tahun 2018, meletakkan PROTON sebagai lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada tahun 2019 dalam kalangan jenama automotif di Malaysia. Pegangan pasaran pula dianggarkan berada pada 16.7 peratus, angka tertinggi sejak 2014.
Menjadi faktor kepada pertumbuhan jualan PROTON adalah Proton X70, serta empat model naik taraf yang dilancarkan pada tahun 2019 dengan kenaikan peratusan jualan sebanyak dua angka.
Proton X70 mendapat jumlah jualan yang memberangsang pada sepanjang tahun pertama ia diperkenalkan dan mencatat rekod sebagai SUV premium terlaris di Malaysia.
Model itu turut mengekalkan kedudukan sebagai yang teratas dalam segmennya sepanjang tahun dan mengakhiri 2019 dengan jumlah jualan sebanyak 26,331 unit.
Jualan Proton Saga juga terus meningkat sejak pelancarannya pada 6 Ogos lalu. Model terkini dalam rangkaian PROTON itu sekali lagi menjadi sedan segmen A paling popular dengan jualan sebanyak 3,892 unit pada bulan Disember dengan mencatatkan sebanyak 38,144 unit.
Tidak dilupakan, Proton Persona, sedan keluarga segmen B yang lengkap dengan ciri-ciri pintar, mengakhiri bulan Disember dengan jualan sebanyak 3,384 unit.
Angka berkenaan meletakkan Persona di kedudukan teratas dalam segmennya bagi bulan Disember dan juga adalah jumlah tertinggi bagi model itu sejak Mac 2012.
Meskipun terdapat beberapa bulan yang mana jualan tidak begitu memberangsangkan iaitu ketika tempoh PROTON mula memperkenalkan Persona 2019 berbanding model sebelum itu, jumlah keseluruhan masih meningkat 29 peratus iaitu sebanyak 21,876 unit pada tahun lepas.
Prestasi Proton Iriz dan Exora juga tidak kurang hebatnya. Iriz mencatatkan jualan hampir dua kali ganda untuk tahun ini dan meningkat sebanyak 97 peratus selepas dilancarkan pada bulan April.
Bagi Exora versi terbaharu pula yang diperkenalkan pada akhir bulan Mei lalu, menunjukkan pertumbuhan jualan sebanyak 40 peratus. Catatan jualan yang meningkat secara konsisten itu bermaksud model itu menamatkan 2019 sebagai MPV segmen C terbaik di Malaysia, iaitu pencapaian terbaik bagi sebuah model yang telah berada di pasaran lebih sepuluh tahun yang lalu.
Must-Watch Video