Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Rambutan Tepati Ramalan, Shila Amzah Juara The Masked Singer Malaysia 2!

Mya Amri
01/04/2022 15:23 MYT
Menewaskan empat maskot lain, Rambutan atau figura sebenarnya, penyanyi Shila Amzah diumumkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia 2.

Rambutan telah membawakan lagu Hurt nyanyian penyanyi antarabangsa Christina Aguelera dan Bujang Senang oleh Wings.

Shila membawa pulang hadiah sebuah trofi seperti mana mengikut format negara-negara lain.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Seladang yang disarungkan oleh Amir Masdi manakala kostum Orkid yang dipakai oleh Liza Hanim mendapat tempat ketiga.

Sementara tempat keempat pula jatuh kepada Burung Hantu (Hannah Delisha) dan kelima milik Ratu Semut (Ara Johari).

Tahniah diucapkan kepada pemenang.

The Masked Singer Malaysia 2 menyaksikan seramai sembilan juri tetap iaitu Datuk Aznil Hj Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Amy Mastura, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.

Pengacara versatil negara, Datuk AC Mizal pula diberikan tanggungjawab sebagai hos The Masked Singer Malaysia 2.

Saksikan The Masked Singer Malaysia 2 setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Warna HD (saluran 107), dan juga boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand!

Berlangsung selama 10 minggu, sesi rakaman The Masked Singer Malaysia 2 dibuat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

The Masked Singer Malaysia musim kedua ini dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang bakal bersiaran setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 28 Januari 2022.

Live+ yang dihoskan oleh Izzue Islam dan Anna Al Jufrey ini akan menyingkap semula kesemua persembahan setiap peserta di samping berinteraksi bersama audiens dengan pengisian menarik sepanjang program berlangsung.

SINAR tampil sebagai Radio Rasmi dan disokong oleh ERA untuk musim ini, manakala Gempak, Zon Lawak dan Ria X hadir sebagai Rakan Digital.

Terdahulu, The Masked Singer Malaysia musim pertama telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang kategori ‘Best TV Format Adaptation (non-scripted)’ di anugerah Content Asia Awards 2021, Ogos lalu.

Majlis penganugerahan tahunan ini mengiktiraf pemain industri kandungan terbaik serata Asia termasuklah Malaysia, Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.

#Shila Amzah #Final #Rambutan #The Masked Singer Malaysia #The Masked Singer Malaysia 2 #TMSM2