Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan kempen MODENAS Dominasi Impianmu yang boleh membantu peminat motosikal di negara ini mencapai impian mereka memiliki jentera dua roda ‘streetbikes’ mereka sendiri.



Kempen yang bermula dari 2 Mei sehingga Hari Merdeka pada 31 Ogos ini, akan menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 kepada pembeli Modenas Dominar D400.

Tawaran ini menjadikan motosikal bersesaran 400cc itu adalah model yang paling paling mampu milik di dalam segmennya. Ia lebih murah RM1,000 yang kini dijual pada harga RM12,788 berbanding asal iaitu RM13,788 tidak termasuk insurans.



Dari segi prestasi, MODENAS Dominar D400 dengan berat 182kg menggunakan enjin DTS-i silinder tunggal, penyejukan cecair serta suntikan bahan api yang menghasilkan 35PS pada 8,000rpm dan tork 35Nm pada 6,500rpm.



Kuasa hentian menggunakan kaliper dwi-omboh 320mm di bahagian hadapan dan kaliper omboh tunggal 230mm di bahagian belakang. Tugas suspensi dilakukan oleh 43mm fork teleskopik bahagian hadapan dan ‘mono chock’ boleh laras di bahagian belakang.



Varian ini hadir dengan tiga warna dan dilengkapi dengan jaminan 2 tahun atau 20,000km atau mana-mana yang terdahulu.