Porsche 718 Boxster Spyder mencipta Rekod Dunia Guinness baharu slalom terpantas. Lebih menarik rekod itu dilakukan oleh remaja perempuan berusia 16 tahun, Chloe Chambers.


Chambers menyertai pelbagai siri go-kart dan Boxster Spyder yang dipandunya adalah versi standard kilang termasuklah tayar. Chambers melalui antara 51 kon yang jarak selangnya 50 kaki dalam tempoh 47.45 saat.


Chambers berkata, nampak mudah tetapi tidak sebenarnya untuk melalui antara 50 kon secepat mungkin untuk mengalahkan rekod sebelumnya serta tidak menyentuh atau menjatuhkan kon.


“Semuanya berjalan baik pada percubaan akhir yang mana kereta bekerjasama dengan baik dan saya mendapat cengkaman yang diperlukan. Terima kasih kepada keluarga dan sokongan Porsche kerana mempercayai saya," katanya.


Sementara Presiden dan Ketua Eksekutif Porsche Cars North America, Klaus Zellmer, berkata pihaknya berbangga dengan rekod Chloe dan mengucapkan tahniah atas kejayaan terbabit serta menyokong impian Chloe untuk mencipta rekod dan mencapai kejayaan.


Porsche 718 Boxster Spyder menampilkan janakuasa prestasi tinggi menerusi enjin 4.0 liter yang menghasilkan kuasa 414hp dan tork 420Nm. Enjin didatangkan standard dengan transmisi enam kelajuan manual. Pecutan dari 0-100km/j hanya dilakukan dalam tempoh 4.4 saat.