Jika dilihat sekilas pandang dengan mata kasar, ia mungkin sebuah kenderaan buatan Malaysia yang menggunakan komponen Daihatsu. Itulah pandangan mereka yang kurang arif dalam dunia model K-Car.

Namun, bagi pengemar koleksi kenderaan kompak dari negara matahari terbit. Mereka pastinya terpegun kerana kenderaan dalam keluaran ruangan modifikasi kali ini adalah model yang cukup ‘rare’.


Buat pengetahuan anda, ini adalah Daihatsu Mira L200S yang mana ia adalah kenderaan diimport sepenuhnya dari Jepun pada tahun lalu.

Minat yang semakin menggila terhadap model keluaran Daihatsu itu, mendorong Mohd Khairi Yaakub, 39, mengambil keputusan yang tidak masuk akal untuk membawa masuk ‘anak Jepun’ buat kali terakhir ke Malaysia. Ini susulan AP klasik sudah tidak boleh digunakan lagi untuk membawa masuk kenderaan seperti ini di Malaysia.

Jentera itu pada asalnya adalah model Mira L200V Edisi Terhad, tetapi sudah dinaik taraf kepada versi L200S yang juga adalah versi tertinggi bagi model L2 dua pintu.


Ia menggunakan kit badan L200S yang lengkap, selain didatangkan dengan set lampu depan kaca serta lampu kabus ‘ketam’ yang sangat sukar diperoleh.

Pada bahagian belakang, jentera itu dilengkapi set lips dan spoiler Cross yang dipasang bersama reflektor Avanzato baharu yang dipesan khas dari Jepun, selain di bumbungnya menggunakan antena Twin Blade keluaran Toshiba Japan.

Pada bahagian sisi diperkemaskan lagi dengan skirting L200S serta door garnish asli Daihatsu Mira. Malah turut kelihatan visor pintu ‘Two Piece’ keluaran terhad daripada Daihatsu serta dicatkan warna merah Ferrari untuk tampak lebih menarik.


Biarpun menggunakan rangkaian kuasa asal, enjinnya sudah tidak lagi ‘dara” kerana ditingkatkan untuk meningkatkan prestasinya.

Sentuhan pertama membabitkan kompenen enjin dileraikan untuk kerja port & polish. Proses seterusnya, pelapik (gasket) jenis keluli turut digunakan bagi menjamin ketahanannya ketika diasak pada boost tinggi.

Pada bahagian atas enjin, ia menggunakan aci sesondol bersama campulley boleh laras jenama Max Speed. Bekalan bahan api diperoleh dari pam minyak Walbro serta unit regulator jenama SARD yang ditempatkan dibahagian belakang enjin.


Bagi tugas pembakaran lebih optimum, koil asal kini diambil alih oleh unit MSD lengkap bersama kabel yang turut dibantu oleh Unit Pengurusan Link.

Menyentuh aspek prestasinya, kereta itu menggunakan turbin jenis RHF4 sebagai asas, tetapi sudah dihybridkan dengan beberapa komponen lain untuk mendapatkan prestasi lebih agresif apabila mencapai boost 2.0 bar. Udara mampat disejukkan oleh intercooler bersaiz besar binaan khas dari Thailand.

Tekanan berlebihan dalam turbin pula dilepaskan melalui blow off SARD R2D2 serta unit wastegate jenama Tial yang digantung pada ekstraktor banana rekaan khas.


Kuasa daripada enjin itu dihantar ke kotak gear LSD lima kelajuan manual, selain emisi pembakaran disalurkan ke paip tahan karat 2.2 inci dengan dihujungnya dilengkapi peredam Lucky Star.

Bagi kuasa hentian dan pengendalian, komponen standard sebenarnya sudah tidak lagi releven untuk digunakan. Jadi ia menggunakan suspensi boleh laras GAP serta brek yang ditingkatkan untuk memberi kuasa hentian lebih cemerlang.

Faktor cengkaman di jalan pula diserahkan kepada tayar Achilles ATR K-Sport yang membaluti rim emas jenama Enkei jenis two piece welded.


Bagi ruang kabinnya, ia diceriakan dengan tempat duduk siri L2 Limited dan masih menggunakan papan pemuka asal yang dihiasi meter Defi empat beradik.

Pada masa sama, ia juga mempunyai bumbung matahari yang asal daripada kenderaan itu untuk memberi pencahayaan sempurna ke dalam ruang kabin.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kos untuk mengubahsuai jentera itu, pemiliknya memaklumkan sudah menghabiskan RM90,000. Ini membabitkan harga membeli kereta mencecah RM60,000 dan RM30,000 kos untuk modifikasi.


Kredit artikel dan gambar oleh: Haniff Salleh