Biarpun tidak naik podium di litar San Marino, Itali pada hujung minggu lalu, pelumba MotoGP, Valentino Rossi sebenarnya memberi satu penampilan yang unik kepada penontonnya.

Berjuang di halaman sendiri, Rossi sebenarnya menggunakan helmet dengan corak grafik unik yang sesuai dengan tema negara Itali.



Corak helmet AGV Pista yang digunakan Rossi itu diilhamkan daripada menu Misano kerana ia mempunyai corak grafik makanan khas Itali iaitu Pizza. Menariknya, potongan Pizza itu menggantikan rekaan matahari yang khas pada helmet Rossi sebelum ini.

Pada bahagian sebelahnya pula, rekaan bulan yang biasa dilihat pada helmet Rossi digantikan dengan corak potongan buah tembikai. Sedangkan pada bahagian belakang kelihatan beberapa haiwan peliharaan Rossi iaitu dua anjing dan seekor kucing.



Pada MotoGP di litar San Marino pada hujung minggu, pelumba Sepanyol Marc Marquez meraih kemenangan MotoGP ketiganya di Grand Prix San Marino untuk melebarkan penguasaannya sebagai pendahulu kejuaraan dunia.

Penunggang Honda itu, yang bermula di barisan kedua, merampas kemenangan pada pusingan terakhir daripada penunggang Yamaha-SRT Fabio Quartararo yang mendahului sebahagian besar perlumbaan.