Antarabangsa
RUF Rodeo Concept Gabungan Tema Koboi Dan Rali
RUF Automobile bukanlah nama yang asing dalam dunia automotif, terutamanya bagi peminat Porsche. ‘Tuner’ dari Jerman ini telah banyak menghasilkan rekaan berdasarkan model 911 yang menarik dan hasil tangan terbaru ini mungkin antara yang paling unik pernah dihasilkan.
Digelar sebagai Rodeo Concept, jentera ini menampilkan gabungan tema koboi Western dan rali ‘off-road’. Ia mempunyai rangka monocoque yang diperbuat daripada gentian karbon seperti yang digunakan oleh CTR Anniversary dan SCR seperti yang diperkenalkan sebelum ini.
RUF tidak mendedahkan perincian enjin namun mendakwa bahawa ia boleh menampung enjin NA atau turbo enam silinder rata. Apa yang diberitahu, Rodeo Concept didatangkan dengan pacuan semua roda, sistem suspensi yang ‘diangkat’ dan tayar ‘all terrain’.
Inspirasi daripada jentera rali Porsche 911 boleh dilihat dengan jelas menerusi empat lampu kabus bulat yang tersusun di atas hud. ‘Bullbar’ dan jeriji besi digunakan untuk melindungi bahagian hadapan, manakala rak bumbung menawarkan ruang storan tambahan. Penyodok turut disertakan sekiranya kereta ini tersangkut di dalam pasir.
Di dalam, kemasan kulit digunakan untuk menghiasi tempat duduk, panel pintu, papan pemuka dan stereng. Selain itu, RUF turut menggunakan fabrik dengan corak yang diilhamkan oleh suku kaum Navajo dari Amerika Syarikat pada kerusi.
Setakat ini, Rodeo Concept kekal sebagai jentera konsep. Namun, tidak mustahil satu hari nanti RUF membuat keputusan untuk menawarkannya kepada mereka yang berminat.
Must-Watch Video