Jika anda sukakan cabaran, lasak dan kerap bergerak dan menjelajah jauh dengan gaya mewah, tetapi mahu keselesaan, model baharu Life Home V90 Villa Edition dari SAIC Maxus ini adalah sesuai buat anda.


Menerusi beberapa imej dari pengeluar China itu, kenderaan unik itu memiliki dua peringkat. Apabila berada di kawasan perkhemahan bukan sahaja kedua-dua bahagian sisinya boleh ditarik menjadi ruang tamu seluas 215 kaki persegi.


Pada masa sama, bahagian bumbung boleh dinaik menjadi lantai atas dengan tambahan ruangan 133 kaki persegi. Ruangan atas itu didatangkan dengan dinding cermin dan boleh digunakan untuk minum petang atau studio yoga.


Turut tersedia balkoni kecil di lantai atas dan cermin itu boleh dilaraskan terang dan gelap. Jika itu tidak cukup SAIC Maxus menawarkan lif solo kecil. Di samping itu, kenderaan berkenaan dilengkapi dengan sistem audio JBL, mesin basuh, penyaman udara dan dapur.


Menerusi gambar yang disiarkan, menunjukkan lantai menggunakan material kayu dan beberapa hiasan mewah termasuklah sofa sudut bentuk L dan televisyen. Badan luar pula menerima perincian mewah dengan aksen emas sebagai warna kontra kepada putih dan biru bersama lampu belakang LED.


SAIC Maxus pertama kali mendedahkan Life Home V90 Villa Edition itu tahun lalu dan harganya tidak murah iaitu Yuan 2.68 juta (RM1.68 juta). Anda berminat?