Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Senator Bina Buggy Elektrik Guna Tenaga Solar Dalam Tempoh PKP

Erywan
17/04/2020 05:11 MYT
“Inspirasi ini dilakukan adalah untuk kegunaan masyarakat kampung, membantu mereka mengangkut hasil pertanian yang lebih menjimatkan,” kata Senator di Dewan Negara, Adrian Banie Lasimbang yang membina sebuah prototaip buggy elektrik dengan menggunakan tenaga solar.

Menurutnya, sebelum ini, masyarakat kampung menggunakan jentera konvensional untuk membawa hasil pertanian mereka, jadi adanya buggy itu ia boleh mengurangkan penggunaan bahan api berbanding biasa.



“Saya dibantu empat lagi pekerja lain untuk menyiapkan prototaip ini, ia lebih kepada hobi berikutan mahu mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak pandemik Covid-19.

“Kami ambil masa hampir dua minggu untuk menyiapkannya, kebanyakkan komponen yang digunakan diambil daripada barangan terpakai,” katanya yang juga pengasas Center for Renewable Energy & Appropriate Technology (CREATE) Borneo selaku badan sosial membekal elektrik di kawasan luar bandar.



Adrian berkata, bengkel untuk membina prototaip itu cuma di sebelah rumah, komponen yang digunakan pula adalah bahan lebihan di tempat berkenaan seperti panel solar dan tiub besi untuk membina kerangka jentera.

Menurutnya, jentera itu turut dipadankan suspensi, stereng dan lower arm yang diambil daripada Perodua Kenari, selain turut menggunakan tayar ganti kereta pada bahagian hadapan.



“Panel solar diletak pada bahagian bumbung yang mana tenaga elektrik itu disimpan ke empat-empat bateri pada bahagian tengah kerangka dengan boleh menyimpan 1,000AH.

“Bagi menggerakkan buggy ini, sebuah motor wind turbine digunakan yang mana motor arus terus (DC) itu boleh menyalurkan 4kW (5.4hp).



“Prestasi prototaip ini tidaklah mantap, jika mahu meningkatkan kuasanya ia perlu ditukar dengan motor yang lebih baik dan boleh dibeli dalam talian, tetapi harganya tidak terlalu murah,” beliau berkata dihubungi di Penampang, Sabah.

Ketika ditanya sama ada pernah cuba memandunya, Adrian memaklumkan prototaip pernah dipandu sejauh 400 meter dengan sekali cas selepas tiga jam dijemur di bawah sinaran matahari. Kelajuannya pula boleh mencecah 25km/j.



Apa yang menariknya, pada masa sama buggy berkenaan boleh digunakan sebagai sumber bekalan tenaga elektrik alternatif kepada peralatan rumah.

“Jika pada siang hari, jentera ini boleh memunggah barang dan pada waktu malam pula ia boleh digunakan untuk menyalur tenaga elektrik di rumah.



“Berhubung kos untuk membina, ia tidak terlalu mahal kerana banyak bahan yang digunakan adalah kitar semula, cuma kami terpaksa membeli empat bateri untuk menyimpan tenaga elektrik itu,” katanya.

Sementara itu, Adrian turut menyeru supaya masyarakat serta pembaca drebar.my tingkatkan kesedaran berhubung pentingnya kenderaan mesra alam. Ini berikutan pada masa hadapan, kenderaan elektrik (EV) bakal memenuhi jalan raya dan ketika inilah kesedaran itu harus dipupuk.


;