Antarabangsa

SSC Tuatara, Satu-Satu Kereta Produksi Yang Boleh Mencabar Rekod Bugatti Chiron Super Sport

Erywan
13/02/2020
06:40 MYT
‘Perang’ kelajuan maksimum antara hypercar kini menjadi semakin hangat dengan kemunculan SSC Tuatara di Phildelphia Auto Show baru-baru ini.
Pengganti kepada Ultimate Aero yang pernah memegang rekod kelajuan maksimum pada 2007, model terbaru ini dikatakan mampu memecut sehingga kelajuan 300bsj (482.8km/j). Setakat ini, satu-satunya kereta produksi yang boleh mencabar kelajuan yang tidak masuk akal itu adalah Bugatti Chiron Super Sport 300+ dengan rekod 304.7bsj (490.4km/j) yang dicatat pada tahun lalu.
Bagi mencapai matlamatnya, SSC menggunakan enjin 5.9-liter twin-turbo V8 yang berupaya menghasilkan kuasa berjumlah 1,350hp dengan petrol 91 oktana atau 1,750hp jika diisi dengan bahan bakar etanol E85. Tork yang dihasilkan tidak kurang hebatnya iaitu 1,735Nm, disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik tujuh kelajuan keluaran syarikat CIMA. Menurut SSC, kotak gear itu mampu melakukan penukaran gear dengan lancar dalam kurang 100 milisaat.
Direka oleh bekas pereka Pininfarina iaitu Jason Castriota, Tuatara mempunyai badan dan casis monocoque yang diperbuat daripada gentian karbon. Jadi tidak hairanlah jentera antara yang teringan dalam segmennya dengan berat kering hanya 1,247kg. Terima kasih kepada penalaan aerodinamik dan ujian terowong udara, ia mempunyai pekali seratan yang rendah iaitu 0.279. Bukan itu sahaja, ciri aerodinamik aktif pada bahagian belakang mampu memberikan jentera ini keseimbangan ketika bergerak pada kelajuan 100bsj hingga 300bsj.
Satu lagi ciri yang akan membantu Tuatara dalam misinya adalah sistem suspensi boleh laras yang boleh mengubahsuai ketinggian mengikut mod pemanduan yang dipilih. Turut disertakan adalah Front Lift Mode bagi memudahkan pemandu melepasi bonggol jalan. Ruang kabin boleh diakses dengan mudah menerusi pintu ‘dihedral’ yang dibuka dengan hanya menekan butang. Sebaik sahaja masuk ke dalam, anda akan menjumpai pelbagai kelengkapan yang memudahkan seperti penyaman udara, skrin sentuh sistem infotainmen, kluster instrumen digital, sistem audip premium dan sebagainya.
Walaupun tampak sempit, SSC berkata bahawa ruang kabin Tuatara sesuai untuk pemandu berketinggian sehingga 1.95m walaupun memakai topi keledar. Pengeluaran Tuatara akan dihadkan kepada 100 unit sahaja. Harga rasmi masih belum didedahkan namun menurut laporan, hypercar ini mungkin ditawarkan pada harga bermula $1.3 juta (RM5.4 juta).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video