Model Impreza ini ialah sebuah jentera rali tulen dan juga memegang rekod sebagai kereta Subaru yang dijual pada harga lelongan paling tinggi baru-baru ini iaitu sebanyak AS$865,000 (RM3.5 juta)!


Subaru Impreza dengan nombor casis 11 itu pernah digunakan pelumba rali Richard Burns dan Robert Reid dalam Kejuaraan Rali Dunia 2000. Kereta ini dianggap sebagai ‘kereta WRC paling asli di dunia’.


Berdasarkan laporan, perjanjian jual beli Subaru Impreza itu dibuat semasa kereta sedang berlumba dalam kejuaraan rali. Sebaik kereta itu melepasi garisan penamat, pembelinya terus mengambilnya dan membawa pulang.


Kereta rali itu berada dalam pemilikan seorang pengumpul peribadi hampir selama tiga tahun dan ada menjalani beberapa proses baik pulih enjin seperti menukar unit kawalan enjin (ECU) dan dipasang bateri baharu. Penukaran ECU itu untuk membolehkan kereta rali berkenaan menggunakan minyak petrol tanpa plumbum.


Kesan kemik atau rosak pada badan semasa perlumbaan tidak diubah dan ini boleh dilihat pada badan Subaru terbabit, membabitkan sayap depan, roda stereng, tempat duduk dan harness perlumbaan.


Enjin yang digunakan ialah 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 300hp. Tiada maklumat teknikal lain didedahkan setakat ini.