Selepas enam tahun menyepi, perlumbaan Super GT Malaysia 2020 kembali beraksi di Litar Antarabangsa Sepang yang dijangka diadakan pada 16 sehingga 19 Julai ini.

Perlumbaan kali ini menjadi lebih unik apabila ia berlumba di waktu malam dan menjadi yang pertama dalam Super GT.

Super GT Malaysia 2020 adalah satu daripada dua perlumbaan yang diadakan di luar Jepun. Perlumbaan itu adalah pusingan kelima bagi Siri Super GT Autobacs 2020.

Siri Super GT Autobacs 2020 bermula pada April ini di Litar Antarabangsa Okayama dan diikuti Fuji Speedway dan Litar Suzuka pada Mei. Pusingan perlumbaan di luar Jepun pula befmula Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand dan kembali ke Malaysia.

Selepas itu ia kembali ke Jepun bagi pusingan keenam di Sportsland Sugo pada September, Autopolis International Racing Course (Oktober) dan terakhir di Twin Ring Motegi pada November ini.

Dua kategori dipertandingkan membabitkan GT500 dan GR300 yang masing-masing memperjuangkan 15 serta 30 pasukan.

Bagi GT500, ia akan disertai tiga pengeluar automotif Jepun yang terbesar seperti Nissan, Honda dan Toyota masing-masing.

GT300 pula menampilkan model jenama Eropah membabitkan Mercedes-Benz, BMW, Audi, Porsche, Lamborghini, Bently dan Lotus, selain model Jepun turut terbabit sama seperti Honda, Nissan dan Subaru.

Bagi memeriahkan acara Super GT Malaysia 2020, dua pelumba tempatan membabitkan Jazeman Jaafar dan Datuk Adrian da Silva bakal beraksi dalam kelas GT300 selaku pelumba wildcard.

Pada masa sama, pemegang tiket Super GT Malaysia 2020 juga berpeluang membawa pulang sebuah kereta sport, Toyota GR Supra bagi pertandingan “Predict & Win”.

Art of Speed juga turut serta memeriahkan acara itu dengan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan yang sesuai buat peminat jentera kustom di Malaysia.

Tiket dijual bermula RM100 untuk K1 Grandstand, manakala Main Grandstand berharga RM250 dan RM2,000 bagi GT Club. Jika awal membelinya, tiket itu lebih murah yang berharga RM80 (K1 Grandstand) dan RM200 (Main Grandstand). Pembelian tiket itu boleh dibuat menerusi online www.supergtmalaysia.com.