Sempena pengenalan Lexus NX300 2019 akan datang, Lexus Malaysia kini mula membuka tempahan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu itu yang mana ia paling bergaya dan selamat dalam kategorinya.

Versi 2019 itu kini menerima sistem keselamatan termaju, Lexus Safety System + (LSS+) yang meletakkan penawaran bagi ciri keselamatan aktif pada model ini berada selangkah di hadapan.

Ia ditawarkan tiga varian membabitkan NX300 Premium, NX300 Urban dan NX300 F-Sport dengan menerima kemas kini dari aspek kelengkapan untuk menjadikannya lebih menarik dan berbaloi dengan nilai tambah tersendiri.

Kemas kini terpenting yang diberikan pada versi terbaru itu adalah Lexus Safety System + yang terdiri daripada pelbagai ciri keselamatan aktif canggih yang bukan sekadar mampu menghindarkan kemalangan disebabkan kelekaan pemandu, tetapi turut berupaya mengurangkan kesan dan kecederaan pada penumpang sekiranya berlaku perlanggaran.

Kebanyakan sistem yang ada juga menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih menyenangkan dengan cara mengurangkan tekanan ketika memandu, terutamanya ketika di dalam persekitaran bandar.

Ciri-ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Bantuan Pengesan Lorong (LTA), Amaran Pertukaran Lorong (LDA), Bantuan Brek Pra-Perlanggaran, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Belokan Aktif (ACA), Amaran Sokongan Parkir dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS) adalah sebahagian daripada senarai yang memperkaya pengalaman pemanduan bagi model berkenaan.

Selain itu, aspek lain diberikan perhatian oleh jurutera Lexus untuk memperhalusi lagi penawaran pada NX. Bagi beberapa variannya, penyerap hentak prestasi atau rod prestasi digunakan untuk memantapkan lagi casis yang dibangunkan bersama Yamaha.

Penyerap hentak berkenaan membantu bagi mengurangkan gegaran dan menghindari kesan yang datang dari permukaan jalan keras melalui badan SUV itu, menjadikan suasana penumpang lebih tenang dan selesa.

Keseluruhannya terdapat tujuh pilihan warna bagi Lexus NX300 2019, termasuk Blazing Carnelian, Amber CS, Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black GF, Red MC CS dan Sparkling Meteor ME. Bagi NX300 F-Sport pula, ia turut ditawarkan dalam warna khas Heat Blue CL atau Lava Orange CS.

Lexus NX yang diimport sepenuhnya itu turut ditawarkan dengan jaminan komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan.