Watch
Suzuki Swift Sport - Satu-satu guna kit badan Chargespeed di Malaysia
Mungkin ada antara kita sebenarnya sudah lupa kewujudan kereta jenama Suzuki selepas ia sudah tidak lagi dijual di negara ini.
Ini berikutan selepas semua pusat pameran Suzuki di seluruh Malaysia ditutup sepenuhnya beberapa tahun lalu.
Jadi bagi membangkitkan semula populariti kereta jenama Suzuki di Malaysia, drebar.my memaparkan Suzuki Swift Sport yang menjalani modifikasi cukup baik dan unik.
Kos ubah suai Suzuki Swift ini sebenarnya sudah mencecah RM38,000 yang mengambil masa dua tahun untuk modifikasi.
Paling mengejutkan, pemiliknya mengatakan ia masih lagi belum sempurna dan tidak siap sepenuhnya.
Buat pengetahuan anda, jentera ini sangat mengagumkan apabila ia adalah model Suzuki Swift Sport yang satu-satu guna kit badan jenama Chargespeed di Malaysia.
Jika dilihat pada bentuk luarannya, ia tampak garang terutama pada bahagian depan apabila bampar, bonet dan dapra sisi menggunakan komponen Chargespeed.
Ternyata bampar dan bonet gentian karbon Chargespeed memberi satu karakter yang sangat berbeza bagi Suzuki Swift ini dan pastinya ia menjadi perhatian jika dipandu di jalan raya.
Sekiranya lihat pada bahagian belakang, tidak banyak berbeza dengan model asal kecuali padanan GT Wing gentian karbon Monster Sport dan diffuser Aero Work.
Pemilihan rim TE37 bersaiz 15 inci juga sesuai dengan jentera ini dan ia direndahkan dengan menggunakan suspensi Tein Type Flex. Ternyata dua kombinasi jenama itu memberi satu modifikasi yang menarik pada jentera ini.
Biarpun modifikasi itu tidak mempunyai konsep khas, ruang dalamannya memiliki ciri sporty seperti jentera lumba dengan padanan kerusi separa bucket Bride Gias pada bahagian pemandu.
Malah, ruang kokpit dihiasi tombol gear dan pelapik padel jenama Monster Sport, selain guna komponen Suzuki Sport membabitkan butang menghidup enjin serta perehat kaki.
Sementara itu di bawah bonetnya, ia masih lagi menggunakan enjin asal, tetapi dinaik taraf supaya memberi prestasi lebih lancar berbanding standard.
Boleh dikatakan ia adalah ubah suai secara sederhana kerana hanya meningkatkan beberapa kuasa kuda (hp) selepas menjalani proses port & polish bagi kepala silinder.
Pada masa sama, kepala silinder itu dilengkapi spring injap Monster Sport, fuel rail Works Engineering dan kabel palam pencucuh TM Works.
Sistem pembakaran dalam kebuk lebih sempurna selepas sistem elektroniknya dipertingkatkan dengan Unit Kawalan Elektronik (ECU) R’s Racing Products (RRP) serta dilengkapi penyejuk minyak enjin Sard.
Sementara itu, emisi yang berlaku dalam kebuk pembakaran disalurkan ke sistem ekzos dinaik taraf dengan paip tahan karat bersaiz dua inci dan dihujungnya pula dilengkapi peredam Kakimoto Hyper GT.
Apa yang drebar.my boleh katakan, Suzuki Swift Sport ini memang mempunyai satu daya tarikan tersendiri biarpun tidak perlu menukar enjin kepada lebih berkuasa.
Sila share dan like artikel ini
Must-Watch Video