Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Suzuki TXR 150 dari bawah kolong kini gah di jalanan.

Public Anonymous User
08/04/2018 01:58 MYT
Asalnya Suzuki TXR 150 atau lebih kenali ‘Panther Jerung’ pilihan drebar.my kali ini tersadai di bawah kolong dan kehilangan banyak komponen asal.

Dengan keadaan karat di merata tempat sudah pasti sesetengah individu akan berfikir dua kali untuk membaik pulihnya semula.

Bagi seorang peniaga, Ahmad Fuad Harun 39, dia sanggup menghabiskan kira-kira RM3,500 semata-mata untuk menjelmakan semula Suzuki TXR 150 itu.

Motosikal yang pernah dimiliknya itu pernah dijual 15 tahun lalu bagi menyara hidup ketika mahu mendirikan rumah tangga dengan isteri tercinta.

Menurut pemilik, terdetik dihatinya untuk membina semula Suzuki TXR 150 itu bagi mengembalikan kenangannya dahulu.

Selepas membelinya dari pemilik di Ipoh,Perak dengan harga RM750, dia mula menjalankan kerja restorasi dan menghabiskan masa lebih sebulan untuk menyiapkannya.

Jentera kategori Retro itu menjalani proses restorasi dari luaran sehinggalah dalaman enjin. Namun semua digantikan dengan komponen asli dan tidak ada sebarang komponen daripada motosikal lain yang digabungkan pada jentera itu.

Ini kerana Ahmad Fuad mahu memelihara keasliannya dan kerja restorasi itu pula dilakukan sendiri dengan menjadikan rumahnya sebagai bengkel.

Antara komponen asal yang diberi nafas baru adalah set fairing jerung, meter kelajuan, karburetor, ekzos dan banyak lagi.

Jentera yang popular dengan nama 'Panther Jerung' itu diwarnakan hijau epal dan bersulam mutiara, selain dipadankan rim bintangnya.

Penggunaan rim itu ternyata menaikkan imej dan seolah-olah tiada jentera lain yang sesuai menggunakannya.

Bercakap tentang kelancaran dan kelajuan, bahagian dalaman enjin boleh dikatakan menggunakan komponen baharu seperti blok, omboh dan beberapa alat gantian lain.

Menurut Ahmad Fuad, kelajuan jentera bukanlah keutamaan, sebaliknya mahu prestasi Suzuki TXR 150 lebih lancar ketika ditunggang di jalan raya.

Biarpun dalam keadaan standard pekak, ia masih memecut hampir 180 kilometer sejam.

;