Anda pernah melihat kereta diparkir dengan keadaan stereng dalam posisi menegak atau lurus?

Ini sebenarnya ada manfaatnya dan amalan parkir seperti ini boleh bantu memanjangkan jangka hayat komponen stereng kuasa (power steering).

Perkara ini dikhaskan untuk model-model kereta yang menggunakan stereng kuasa hidraulik, antaranya Perodua Kancil dan Myvi lama. Stereng kuasa hidraulik menggunakan minyak atau bendalir berasaskan minyak untuk memberi tekanan pada rak kemudi (steering rack).

Tekanan ini akan membantu memudahkan tangan pemandu memusingkan stereng yang akan menggerakkan tayar. Jadi, apabila tayar dihalakan ke sesuatu arah, tekanan minyak stereng kuasa akan terkumpul pada bahagian sama. Sebaik enjin kereta dimatikan, minyak itu akan terus tertumpu pada arah berkenaan dan tekanannya masih ada.

Dalam jangka masa panjang akibat parkir tanpa meluruskan stereng, ini akan menjejaskan garisan minyak dan getah kedap minyak hingga menyebabkan kebocoran.

Seandainya ada berlaku kebocoran minyak, ini akan menyebabkan stereng kereta itu menjadi lebih berat untuk dikemudi.

Bagaimanapun, anda tidak perlu bimbang jika menggunakan kereta yang dibeli dilengkapi dengan stereng kuasa elektrik (EPS).

EPS bergantung kepada satu motor elektrik yang akan memberi tekanan pada rak kemudi. Motor EPS akan menerika kuasa elektrik mengikut maklumat daripada ECU yang bekerja mengikut kelajuan enjin. Ia tidak bergantung kepada bendalir minyak.

Oleh itu, kereta dengan EPS tidak akan menerima kesan jika diparkir dengan stereng senget mahupun lurus. Ini kerana apabila enjin dimatikan, tidak berlaku aliran elektrik kepada ECU atau peranti lain termasuk motor elektrik. Tiada tekanan.