Tesla Cybertruck yang memiliki reka bentuk bukan konvensional nampaknya semakin hangat dalam pasaran apabila jumlah pra tempahannya sudah menjangkaui angka 600,000 setakat ini.

Malah angka pratempahan itu dikatakan boleh melepasi paras 1 juta unit tidak lama lagi sebelum pelancaran rasmi trak pikap elektrik itu yang dijadualkan pada tahun depan.

Apa yang mengejutkan ialah hampir 1,000 unit pratempahan baharu dibuat setiap hari walaupun keseluruhan industri kereta dan ekonomi dunia berdepan masa depan samar-samar selepas tercetusnya pandemik COVID-19.



Informasi berhubung pratempahan Cybertruck yang kini sudah mencapai kira-kira 622,000 unit ini dikongsi oleh Cybertruk Owners Club dengan perkongsian data dalam bentuk pengumpulan maklumat terbuka.

"Sehingga 30 Mac 2020, data dokumen pratempahan menunjukkan tempahan 622k+ Cybertruck sejak tempahan bermula pada 21 November lalu.

"Kali terakhir Elon Musk mendedahkan jumlah tempahan Cybertruck ialah pada 26 November 2019 apabila beliau tweet 250k pratempahan diterima. Ini bermakna hampir 372k tempahan diterima sejak itu.

"Sebagai perbandingan, Model 3 menerima kira-kira 518,000 unit jumlah tempahan, sejak dipertontonkan pada April 2016 dan 2 Ogos 2017.”



Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa hanya AS$100 diperlukan untuk membuat satu pratempahan Cybertruck.

Mungkin ini sebabnya jumlah cukup tinggi berbanding dengan tempahan Ford Mustang Mach-E yang mensyaratkan deposti AS$500. Mustang Mach-E sudah terima 50,000 tempahan sehingga kini.

Sumber: Insideevs Cybertruck Owners Club