Dengan pencapaian penggunaan bahan api terbaik yang pernah ditunjukkan sebelum ini di dalam Dura Miles Challenge, yang menyaksikan D-Max dipandu dari Bangkok ke Singapura dengan menggunakan hanya satu tangki bahan api, Isuzu Malaysia kini meningkatkan pembuktian tahap kecekapan trak pikap Isuzu D-Max dengan menguji enjin 1.9 liter Blue Power baharunya melalui satu lagi cabaran ekstrem.

D-Max 1.9 liter Single Cab dimuatkan beban maksimum sehingga satu tan yang boleh ditampungnya sebelum dipandu melalui kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa dengan catatan jumlah jarak perjalanan melebihi 1,000 km di dalam cabaran: D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge.

Lebih mengkagumkan semua itu dicapai dengan dua takuk bahan api yang masih berbaki di dalam tangki pada akhir cabaran ini.

Sebelum memulakan perjalanannya dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap Isuzu D-Max 1.9 liter Single Cab oleh PUSPAKOM bagi mengesahkan bahawa ia unit standard yang sama di bilik pameran serta bagi mendapatkan pengesahan terhadap jumlah beban yang dibawa, melebihi 1,000 kg.

Dengan bahagian muatan, bonet serta tangki minyak ditutup dan disah dilekapkan, Isuzu D-Max 1.9 liter single cab menuju ke Utara untuk cabarannya yang pertama, Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Grik di Perak dengan laluan mendaki dengan ketinggian 1,052 m sebelum ke Ipoh untuk menamatkan cabaran hari pertamanya.

Keesokan harinya, cabaran yang terpaksa dilalui lebih sukar apabila unit kabin tunggal berkenaan dikehendaki mendaki ketinggian 1,112 m ke Tanah Rata di Cameron Highlands sebelum melanjutkan perjalanan ke Fraser's Hill (1,222 m) melalui Raub.

Seterusnya, cabaran perjalanannya lebih getir; merentasi laluan mendaki ketinggian 1,604 m menuju Genting Highlands sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam dan merekodkan jarak perjalanan 1,145 km keseluruhannya.

Dengan purata penggunaan bahan api 7.2l/100 km (13.7 km/l) berdasarkan bacaan pada meter dalamannya, D-Max 1.9 liter Single Cab tiba di lokasi akhirnya dengan bahan api yang masih banyak di dalam kapasiti tangki 76 liter yang ada padanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, melalui teknologi maju, unit enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang digunakan ialah yang paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motors.

“Ini dibuktikan dengan jelas di dalam percubaan yang dilakukan ini. Memang ada kenderaan lain boleh menjelajah jarak yang jauh dengan hanya satu tangki bahan api, sesetengah yang lain pula boleh membawa beban 1 tan serta melalui jalan mendaki dipergunungan.

“Tetapi, untuk sebuah kenderaan mampu melakukan ketiga-tiganya sekali dengan cemerlang, ia sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Semua model Isuzu D-Max termasuk 1.9 liter Single Cab didatangkan dengan tempoh jaminan lima-tahun atau 150,000 km, memberikan ketenangan dan kepastian kepada pemiliknya bahawa enjin 1.9 liter berprestasi tinggi ini dapat mengharungi apa jua halangan dan cabaran harian.