Watch

Tips memeriksa palam pencucuh

Public Anonymous User
03/07/2018
04:35 MYT
Satu aspek penyelenggaraan kereta yang paling mudah adalah memeriksa dan menukar palam pencucuh.
Jika anda mempunyai kereta yang mana kedudukan palam pencucuh boleh dicapai dengan mudah, ambil peluang ini untuk memeriksa komponen terbabit.
Ini kerana ia boleh memberikan gambaran jelas tentang keadaan kebuk pembakaran enjin anda.
Berikut adalah keadaan-keadaan palam pencucuh yang perlu diberi perhatian ketika anda membuat pemeriksaan:
  1. Normal – Palam pencucuh akan kelihatan normal atau sama seperti sebelum ia dipasang jika tiada masalah pada bahagian enjin.
  2. Normal tetapi dengan lapisan merah – Lapisan merah itu adalah kesan daripada bahan aditif dalam bahan api berkualiti rendah dan boleh dilihat pada penebat seramik palam. Ia bukan petanda masalah enjin.
  3. Berminyak – Palam mempunyai lapisan berkilat pada bahagian muncung dan sisi elektrod, menandakan campuran bahan api berlebihan, masalah pencucuhan atau julat haba (heat range) yang terlalu rendah.
  4. Kerosakan letupan – Ia menandakan bahawa pemasaan enjin lari dan perlu ditala semula. Satu lagi kemungkinan adalah bahan api yang digunakan mungkin mempunyai rating oktana yang terlalu rendah untuk enjin.
  5. Palam pencucuh lusuh – Cara paling mudah adalah menggantikan dengan palam pencucuh baharu.
  6. Dicemari karbon – Jika muncung dan sisi elektrod hitam, ia mungkin berpunca daripada campuran bahan api berlebihan. Punca lain termasuklah pendawaian kurang baik atau penyuntik bocor.
  7. Kerosakan mekanikal – Palam yang rosak atau pecah mungkin disebabkan oleh omboh dan kedudukannya terlalu ke dalam kebuk pembakaran.
Jika palam pencucuh perlu diganti, pastikan anda memilih yang sesuai untuk kenderaan anda.
Ia mempunyai tempoh hayat yang berbeza bergantung kepada jenis. Sebagai contoh, palam pencucuh Iridium boleh tahan sehingga sekurang-kurangnya 100,000km.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video