Antarabangsa

Tom’s bina Toyota Supra dan Century untuk Tokyo Auto Salon

Erywan
12/12/2019
03:19 MYT
Syarikat penala kenderaan Jepun, Tom’s Co Ltd bakal menggunakan pentas Tokyo Auto Salon 2020 untuk mempersembahkan dua model kenderaan ubah suainya menerusi Toyota Supra dan Century.
Kedua-dua kategori kereta itu sangat berbeza kerana Supra adalah jentera Sport, manakala Century pula segmen paling mewah dalam keluarga Toyota. Tom’s yang sebelum ini memang terkenal dengan mengubahsuai kenderaan daripada Toyota dan Lexus.
Bagi model sport itu, ia dinamakan Tom’s Supra Concept yang sudah ditingkatkan bahagian enjin membabitkan sistem elektronik dengan menala computer TEC II, Reinforced Suction Pipe, pengurangan kepanasan enjin dan turbin arus tinggi. Emisi pembakaran daripada kebuk enjin itu disalurkan ke sistem ekzos yang dibina khas oleh Tom’s. Pengendaliannya dari segi suspensi ditukar versi Advox daripada Tom’s, tetapi kuasa hentiannnya diperkuatkan dengan brek Brembo.
Bahagian luarannya pula, sudah semestinya menggunakan kit badan daripada Tom’s memabbitkan peresap depan, sisi dan belakang, selain menukar spoiler serta kemasan bampar baharu. Ia juga bakal dipadankan dengan rim tempaan daripada jenama Vossen yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza S007.
Ruang kabin pula diceriakan dengan salutan gentian karbon bagi membuatkan tampak berbeza dan menarik. Tempat duduknya, difahamkan akan digantikan dengan kerusi bucket, tetapi jenamanya masih lagi rahsia. Bagi Century pula, dinamakan Tom’s Century Concept yang mana ubah suainya lebih tertumpu kepada luaran sahaja. Ini kerana bahagian luaran dihiasi dengan kit eksklusif pada bampar hadapan dan belakang serta pemijak kaki.
Ia juga tampak sedikit berbeza dengan padanan rim Weds “Kranze Maricive” bersaiz 21 ini yang menggunakan tayar Bridgestone Potenza S007.
Bagaimanapun, difahamkan kedua-dua itu hanya sekadar model konsep dan bukan untuk jualan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video