Sempena ulang tahun ke-50 Tomica sebuah jenama kereta miniatur Jepun terkenal memperkenalkan tiga model prestasi serentak dengan skala 1:64. Tentunya kehadiran model ini bakal menjadi item koleksi peminat Tomica.


Tiga model dikeluarkan oleh Tomica bermula dengan Honda Civic Type R yang diperkenalkan pada April, diikuti Toyota Supra (Jun) dan Nissan GT-R (Ogos). Harga model tersebut di antara ¥,800-880 (RM31-35).


Honda Civic Type R ini dibangunkan dengan rekaan untuk sebuah kereta yang pantas dan menyerlahkan aura prestasi tinggi sebuah Type R. Padanan paten grafik jalur dinamik di tepi badan yang digabungkan dengan warna emas membezakan model Civic Type R Tomica ke-50 dengan lain. Ia juga hadir dengan kemasan merah pada rim, bampar, spoiler, hud dan bumbung memberikan aura sporty.


Toyota Supra rekaan oleh Toyota Tsusho Corporation, kumpulan rekaan GAZOO Racing Company GR, Mizuhata Yasuhiko dengan menggambarkan sebuah model kereta Supra Racing. Ia adalah kali pertama grafik skala besar dipersembahkan pada versi miniatur. Grafik jenis heksagon diterapkan pada bampar, gril, sisi dan bumbung. Manakala lencana 50th ANNIVERSARY boleh dilihat pada hud depan.


Model terakhir Nissan GT-R bagaimanapun tiada maklumat terperinci didedahkan pada laman Tomica. Hanya tertulis tarikh pelancaran pada Ogos dan rekaan asal oleh Tomica. Grafik pada model sebenar didedahkan pada Tomica Expo 2020 di Yokohama, Jepun nanti. Namun berdasarkan gambar di kotaknya, ia dikenakan dengan warna merah dan hitam, selain mempunyai logo 50 pada bahagian sisinya.