Watch

Toyota AE86 Initial D versi Malaysia.

gempak
Public Anonymous User
14/04/2018
02:19 MYT
Sponsor Banner
Toyota AE86 Initial D versi Malaysia.
Sebelum ini, drebar.my ada memaparkan artikel Toyota AE86 milik Ilya Izzaini, 26, dari Kulim, Kedah yang menerima sambutan menggalakkan daripada pembaca.
Sama juga kereta apa yang anda lihat dalam artikel kali ini. Ia adalah model Toyota Sprinter Trueno yang lebih dikenali Toyota AE86 kepunyaan Adrian Lo Kooi Hin, 30, dari Sungai Petani, Kedah.
Kali ini lain pula cerita Adrian yang mempunyai banyak cabaran dan halangan semata-mata untuk memiliki kereta idamannya itu.
Sebelum memiliki Toyota AE86, dia sanggup mengubahsuai Proton Iswara menjadi model AE86 kerana minat yang mendalam dengan kartun animasi Jepun, Initial D.
Adrian berkata, ketika itu ramai orang yang mencemuhnya selepas menukar Proton Iswara kepada konsep Toyota AE86 seperti Initial D.
“Saya tidak menghiraukan apa yang mereka kata. Saya cuma buat apa yang saya mahu dan tidak menyusahkan orang lain.
“Proton Iswara itu sudah pun dijual lima tahun lalu. Dan kini apa yang saya mahukan sudah pun muncul selepas membeli Toyota AE86 dengan harga RM60,000 dari Sabah,” katanya.
Menurutnya, biarpun sudah memiliki kereta idaman itu, rupanya banyak cabaran dan halangan yang terpaksa dia tempuhi.
“Ini kerana selepas kereta itu tiba di Pelabuhan Klang, Selangor, ia betul-betul membuatkan saya pening kepala.
“Pada hari pertama memilikinya, kereta itu sudah meragam dengan mengalami masalah brek selepas memandu 15 minit di lebuh raya.
“Selain masalah brek, satu daripada lampu depan juga rosak, ekstraktor longgar, pedal klac dan minyak susah untuk ditekan. Ia memang betul-betul banyak masalah,” katanya.
Bagi mengubahsuai serta membaik pulih jentera seperti sekarang, Adrian memaklumkan dia sudah melabur RM30,000, tetapi masih belum cukup sempurna.
Menurutnya, bahagian luaran dibaik pulih dengan mengikuti konsep Initial D selepas mengecatnya warna hitam dan putih yang turut dilengkapi stiker pada bahagian sisi.
Katanya, bagi membuatkan Toyota AE86 itu lebih gah, jentera kesayangannya dipadankan rim Watanabe 15 inci yang dibaluti tayar Potenza RE003.
“Bahagian dalamannya pula ditukar kepada kerusi Bride balutan Alcantara dengan dipenuhi pelbagai meter jenama Defi dan Greddy.
“Pada bahagian enjin pula, ada sedikit ubah suai untuk membuatkannya lebih selesa dan lancar untuk pemanduan. Jentera itu menggunakan rangkaian kuasa 16 injap yang dipadankan pendikit ITB dari Toyota Corolla Blacktop, selain menggunakan cam 272 ‘in and out’, cam pulley Toda.
“Bagi menghasilkan bunyi yang menarik, kereta ini dilengkapi ekstraktor ‘banana’ dan peredam HKS, selain menggunakan e-manage Blue Mini untuk menghasilkan kuasa maksimum melebihi 140hp,” katanya.
Adrian berkata, Toyota AE86 itu mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan, tetapi dia masih lagi dalam perancangan untuk menambah baik jentera terbabit secara berperingkat-peringkat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024