Tempatan
Toyota Hilux 2.8 Black Edition lebih sporty - Dijual pada RM139,888
UMW Toyota (UMWT) memulakan kalender separuh kedua 2019 syarikat dengan pengenalan beberapa peningkatan serta tambahan varian terbaru bagi barisan menerusi model Toyota Hilux 2.8 Black Edition bagi menggantikan Hilux 2.8 L-Edition.
Menariknya, penampilan versi Black Edition lebih menonjol dengan tema kemasan warna luaran yang digabungkan antara hitam dan kelabu gelap.
Kemasan hitam berkilat turut diberikan pada bahagian pemegang pintu, perumah lampu kabus, cermin sisi serta rim 18 inci, sementara kemasan kelabu gelap digunakan pada pelindung bampar. Warna kelabu yang turut dikenakan pada bahagian jeriji yang hadir sekali bersama kemasan hitam untuk menjadikannya lebih menonjol.
Hilux 2.8 Black Edition kini menjadi varian paling tinggi dengan harga jualan RM139,888 di Semenanjung Malaysia bagi pendaftaran persendirian, tanpa insurans.
Toyota Hilux 2.8 Black Edition juga menerima sistem infotainmen baru dengan skrin paparan 6.75 inci yang lebih jelas dan lancar.
Dengan ciri Android Auto dan Apple CarPlay yang didatangkan secara standard, sambungan yang lebih mudah boleh dilakukan terhadap kebanyakan telefon pintar semasa ketika ini (dengan perisian yang berkaitan telah dimuat turun). Ini secara tidak langsung dapat memperkayakan lagi pengalaman pengguna.
Cadangan lain yang turut diperkenalkan ialah ciri Vehicle Telematics System (VTS), dengan yuran langganan percuma selama tiga tahun melalui pembelian pakej insurans Toyota.
Sebagai tambahan, perakam video digital (DVR) di belakang juga menjadi pelengkap kepada ciri sama yang dipasang di hadapan. Dengan ini, pengguna akan mempunyai bukti kukuh melalui rakaman di depan dan belakang kenderaan sekiranya berlaku perlanggaran.
Pelanggan juga boleh menyertakan sekali pembelian mereka dengan ciri keselamatan tambahan seperti peninjau titik buta (BSM) pada cermin sisi serta ciri Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA).
Pada masa sama, Toyota Fortuner 2.7 SRZ dan 2.4 VRZ pula kini lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay sebagai ciri standard dengan paparan skrin sembilan-inci bagi sistem infotainmen yang ada.
Seperti Fortuner, varian Innova 2.0X dan 2.0G kini didatangkan dengan ciri Android Auto dan Apple CarPlay sebagai standard dengan skrin sembilan-inci bagi sistem infotainmen yang disediakan. Ini menyediakan paparan lebih jelas dan mudah untuk dilihat.
Ciri tinjauan titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) pula ditawarkan sebagai ciri pilihan. Kedua-dua ciri keselamatan tambahan ini mampu membantu mengurangkan kebarangkalian berlakunya perlanggaran yang disebabkan oleh keupayaan untuk melihat kenderaan lain dalam situasi-situasi tertentu.
Must-Watch Video