Dalam banyak-banyak model JDM, Toyota Supra A80 boleh dikatakan satu daripada jentera yang ikonik dalam era tahun 1990-an.

Sehingga kini, Toyota Supra A80 menjadi kegilaan buat peminat model-model JDM di seluruh dunia termasuk Malaysia dan harganya tidak murah biarpun umurnya ada yang mencecah 30 tahun.



Selepas pengeluarannya ditamatkan pada 2002, Supra A80 inilah menjadi kenderaan berstatus lagenda untuk kaki ubah suai, dan popularitinya turut semakin menyerlah selepas tayangan filem Fast & Furious.



Bagaimanapun, ini ada satu daripada Toyota Supra generasi keempat yang melakukan tahap ubah suai pada tahap maksimum. Toyota Supra ini dikatakan mempunyai kuasa yang benar-benar luar biasa dengan mampu menyalurkan 2,033hp dengan tork setinggi 1,766Nm.



Kuasa itu dicatatkan menerusi ujian Dyno di Kanoo Performance, Bahrain. Ia dikatakan menggunakan enjin 2JZ 3.0 liter enam silinder sebaris dengan padanan blok oleh EkanooRacing.



Pada masa sama, jentera berkenaan turut menggunakan kotak gear berurutan PPG, sistem pengurusan enjin Motec M150 serta turbocharger jenama Precision Turbo. Menerusi video durasi kira-kira 5 minit itu, ia mula disiarkan dalam youtube pada 14 April lalu dan sudah ditonton melebihi 330,000.