Antarabangsa

Triumph Trident 660, Adakah Ini Persaingan Baru Yamaha MT-07 Dan Honda CBR650R?

gempak
Erywan
03/11/2020
04:00 MYT
Sponsor Banner
Triumph Trident 660, Adakah Ini Persaingan Baru Yamaha MT-07 Dan Honda CBR650R?
Triumph membuka lembaran baru dalam segmen roadster pertengahan (middleweight) dengan pengenalan model baharu yang dikenali sebagai Trident 660. Ia bakal berhadapan dengan pesaing dari Jepun seperti Kawasaki Z650, Yamaha MT-07 dan Honda CB650R.
Bagi model ini, Triumph membangunkan enjin 660cc tiga silinder baharu dengan kuasa keseluruhan berjumlah 81PS pada 10,250rpm dan 64Nm pada 6,250rpm. Enjin DOHC berkenaan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai klac ‘slip and assist’. Mereka yang ingin menukar gear dengan lebih cepat boleh mendapatkan ‘quick shifter’ yang ditawarkan sebagai opsyen.
Menurut pengeluar motosikal dari UK itu, enjin terbabit menggabungkan prestasi pecutan pada julat rev rendah dan sederhana seperti enjin dua silinder serta kelajuan maksimum pada julat rev tinggi seperti enjin empat silinder sebaris.
Trident 660 menggunakan rangka tiub keluli dengan padanan fork terbalik (USD) Showa bersaiz 41mm pada bahagian depan dan suspensi monoshock pra-muatan boleh laras (preload adjustable) dengan lengan ayun berkembar di belakang. Sistem brek pula dibekalkan oleh Nissin, merangkumi cakera 310mm dengan angkup dua piston di depan, manakala belakang menerusi cakera 255mm serta angkup piston tunggal.
Saiz model ini agak kompak, dengan ukuran panjang 2,020mm, lebar termasuk bar hendal 705mm, tinggi 1,089mm dengan ketinggian tempat duduk hanya 805mm. Ia mempunyai tangki bahan api sebesar 14 liter dan berat keseluruhan 189kg.
Ciri elektronik yang disertakan termasuklah Traction Control, ABS, pendikit ‘ride-by-wire’ serta mod tunggangan Rain dan Road. Segala informasi dipaparkan menerusi skrin TFT berwarna yang diintegrasikan ke dalam paparan LCD. Selain itu, lampu depan dan belakang adalah LED.
Seperti motosikal keluaran Triumph yang lain, Trident 660 boleh didapati dengan pelbagai aksesori, sama ada untuk tujuan kosmetik atau pun untuk memudahkan penunggang. Antaranya adalah sistem pemantauan tekanan tayar, cermin sisi bulat, soket USB, panel badan serta sistem My Triumph Connectivity.
Model ini akan memasuki pasaran UK pada awal tahun hadapan dengan harga bermula dari £7,195 (RM38,640).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live