Antarabangsa
Untuk tahun 2021, Alfa Romeo Tambah Varian Stelvio Menerusi Veloce Ti
Untuk tahun 2021, Alfa Romeo akan menambah satu varian baharu ke dalam barisan model Stelvio iaitu Veloce Ti. ‘Veloce’ adalah ekspresi kepada kelajuan manakala ‘Ti’ pula adalah akronim yang membawa maksud ‘Turismo Internazionale’.
Menurut pengeluar dari Itali itu, Stelvio Veloce Ti hadir dengan penggayaan yang diinspirasikan oleh varian tertinggi iaitu Stelvio Quadrifoglio. Di luar, SUV baharu ini memakai kit badan yang didatangkan dalam warna yang sama dengan badan. Ia juga mempunyai bampar belakang baharu dengan diffuser yang menjadi perumah kepada sepasang ekzos berbentuk bulat.
Untuk penampilan yang lebih sporty, Alfa Romeo menawarkan pilihan rim 21 inci berwarna hitam yang belum pernah ditawarkan pada mana-mana varian Stelvio setakat ini. Selain rim, tona gelap itu turut dikenakan pada keliling tingkap, cermin sisi dan setiap lencana badan yang ada.
Masuk ke bahagian dalam, anda akan menemui pelapik siling (headliner) berwarna hitam, tempat duduk sport dengan balutan kulit dan Alcantara, pedal penukar gear yang diperbuat daripada aluminium dan kemasan gentian karbon pada papan pemuka dan panel pintu. Turut disertakan secara standard adalah filem cermin gelap.
Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo berkapasiti 2.0-liter dengan empat silinder yang menjana 280hp. Ia mematuhi piawaian emisi 6d dan mempunyai silinder yang diperbuat sepenuhnya daripada aluminium serta aci engkol gentian karbon. Kuasa disalurkan oleh transmisi automatik lapan kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda Q4.
Must-Watch Video