Q by Aston Martin, divisyen yang bertanggungjawab dalam menghasilkan model kustom Aston Martin, memperkenalkan rekaan terbaru mereka yang dikenali sebagai Victor.


Dihasilkan sempena ulang tahun ke-70 rangkaian model Vantage, Victor adalah model ‘one-off’ yang direka berdasarkan inspirasi daripada model V8 Vantage era 70an dan 80an. Ia juga menggunakan konsep jentera lumba DBS V8 yang dibangunkan untuk perlumbaan Le Mans 24 Hours.


Victor dibina berasaskan model One-77 yang diperkenalkan lebih 10 tahun lalu, namun model istimewa ini sudah diberikan penampilan serba baharu dengan badan gentian karbon satin yang dicat warna Pentland Green.Di belakang, teknologi lampu yang digunakan dipinjam daripada model Valkyrie.


Ruang dalamannya turut menerima sentuhan segar menerusi penggunaan upholsteri kulit dalam kemasan Forest Green dan Conker Bridge, ditambah pula dengan material Cashmere pada bahagian atas papan pemuka. Selain elemen gentian karbon yang terdedah, Q by Aston Marti turut menggunakan trim aluminium dan titanium, serta kayu walnut pada tombol gear.


Victor dipacu oleh ‘jantung’ V12 bersesaran 7.3-liter yang ditala oleh Cosworth untuk menghasilkan 836hp dan 821Nm, iaitu jauh lebih tinggi berbanding jumlah kuasa asal One-77 iaitu 750hp dan 750Nm. Kuasa terbabit disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan yang dibekalkan oleh Graziano. Ini menjadikan Victor jentera manual Aston Martin yang paling berkuasa setakat ini.


Selain itu, Victor dilengkapi dengan gegelung dan peredam daripada Vulcan, manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera brek karbon seramik Brembo CMM-R berukuran 380mm di hadapan dan 360mm di belakang.


Tiada maklumat mengenai harga jentera ini, tetapi sebagai model ‘one-off’, ia sudah pasti hanya mampu dimiliki oleh individu daripada golongan elit.