Antarabangsa

Volkswagen Amarok W580, Hasil Kerjasama Syarikat Talaan Hot Rod Terkenal

gempak
Erywan
16/10/2020
03:12 MYT
Sponsor Banner
Volkswagen Amarok W580, Hasil Kerjasama Syarikat Talaan Hot Rod Terkenal
Nama Amarok mungkin kurang dikenali di negara ini namun di Australia, trak pikap saiz pertengahan keluaran Volkswagen itu cukup popular di kalangan pelanggan. Disebabkan itu, Volkswagen Commercial Vehicles Australia bekerjasama dengan syarikat talaan ‘hot rod’ terkenal iaitu Walkinshaw untuk menghasilkan Amarok W580.
Bermula dengan penampilan, model ini mendapat rekaan gril dan bampar hadapan yang lebih agresif serta set pelekat dan lencana eksklusif Walkinshaw Performance. Ia juga memakai rim ‘Clayton’ berukuran 20 inci yang direka sendiri oleh syarikat itu. Lebih menarik lagi, muncung ekzos berkembarnya dipindahkan ke bahagian sisi untuk imej yang lebih dramatik.
Bagi memaksimumkan cengkaman dan meningkatkan tindak balas stereng, Walkinshaw turut menala semula sistem suspensi Amarok manakala tayar asal digantikan dengan tayar Pirelli Scorpion. Hasilnya, ketinggian gandar hadapan bertambah sebanyak 40mm, sekali gus memberikan trak pikap ini ‘stance’ yang lebih agresif.
Di bawah hud, enjin turbodiesel TDI berkapasiti 3.0 liter V6 tidak disentuh dan masih mampu menjana 268hp dan 580Nm seperti sebelum ini. Enjin terbabit digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda.
Menurut Volkswagen, model edisi khas ini mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk dibangunkan. Ia hanya akan dijual di Australia dan pelanggan boleh menempahnya bermula 1 Disember depan.
Seramai 30 pelanggan pertama yang melengkapkan proses pembelian Amarok W580 dalam talian akan dapat mengikuti lawatan percuma ke kilang Walkinshaw dan menyertai ‘track day’ eksklusif.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024