Antarabangsa

Volkswagen Golf Mk8 - Lebih panjang dan rendah berbanding model generasi ketujuh

gempak
Erywan
27/10/2019
23:17 MYT
Sponsor Banner
Volkswagen Golf Mk8 - Lebih panjang dan rendah berbanding model generasi ketujuh
Seperti yang dijanjikan, Volkswagen Golf generasi kelapan (Mk8) akhirnya diperkenalkan kepada umum. Tampil dengan pelbagai pembaharuan dalaman dan luaran, ia akan memasuki pasaran bermula Disember tahun ini.
Volkswagen menggunakan platform MQB versi terbaru bagi hatchback ini dan hasilnya adalah badan yang lebih panjang dan rendah berbanding model generasi ketujuh. Ini secara tidak langsung mengurangkan kadar seretan kepada 0.275.
Dari segi reka bentuk, Golf kini tampil dengan lampu hadapan yang lebih nipis yang bersambung dengan jeriji, serta lampu belakang yang berlekuk. Turut disertakan adalah logo baharu Volkswagen yang lebih ringkas serta nama ‘Golf’ pada bahagian tailgate.
Ruang kabin menyaksikan perubahan yang lebih menyuruh dengan rekaan papan pemuka dan konsol tengah yang lebih moden. Antara ‘gajet’ terbaru yang disertakan adalah kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infotainmen 10 inci.
Selain itu, kebanyakan butang dan tombol fizikal kini diambil oleh panel sentuhan, seperti yang terdapat pada roda stereng dan sebelah kiri papan pemuka.
Golf dilancarkan dengan lima pilihan enjin hibrid. Tiga daripadanya adalah model mild-hybrid dengan teknologi 48V yang dikenali sebagai eTSI. Ia boleh didapati dalam tiga peringkat kuasa iaitu 110PS, 130PS dan 150PS.
Dua lagi hadir sebagai model plug-in hybrid dengan kuasa sebanyak 204PS bagi versi asas dan 245PS bagi versi GTE. Kedua-duanya didatangkan dengan bateri lithium-ion 13kWh yang membolehkan pemanduan elektrik sejauh 60km.
Selain itu, model ini turut ditawarkan dengan enjin TSI 1.0-liter tiga silinder dengan 90PS dan 110PS, serta enjin TDI 1.5-liter empat silinder dengan 115PS dan 150PS. Terdapat juga versi gas asli (TGI) yang menjana 130PS.
Golf kini didatangkan dengan teknologi Travel Assist yang boleh mengendalikan aspek brek, stereng dan pendikit secara separa autonomi pada kelajuan sehingga 210km/j. Satu lagi teknologi terkini pada model ini adalah Car2X yang dibangunkan untuk berkongsi data dengan kereta lain dalam radius 800 meter.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024