Tempatan
Volkswagen Hentikan Pengeluaran Golf Di Amerika Syarikat
Volkswagen Amerika mengumumkan untuk menamatkan pengeluaran model Golf untuk pasaran Amerika Syarikat pada minggu lalu.
Volkswagen menjangkakan bagi model Golf 2021 akan dibina di kilang Puebla, Mexico untuk mengekalkan penjualan hatchback sehingga akhir tahun ini.
Biarpun model asas Golf tidak dijual di Amerika Syarikat, varian berprestasi lain seperti generasi baharu MK8 Golf GTI dan Golf R masih lagi ditawarkan untuk negara berkenaan.
Timbalan Presiden Kanan, Pemasaran dan Strategi Produk, Volkswagen of America, Inc, Hein Schafer berkata, selama empat dekad, Golf memberikan nilai yang besar kepada pemandu Amerika.
“Walaupun Golf generasi ketujuh akan menjadi yang terakhir yang dikeluarkan di sini, GTI dan Golf R akan meneruskan legasinya,” katanya.
Hampir 2.5 juta model Golf sudah dijual di Amerika Syarikat sejak 1974. Dalam tempoh itu, Golf menerima pelbagai anugerah dan yang terbaru menerima North American Car of the Year menerusi Golf MK7.
Di sana, harga untuk Volkswagen Golf 2021 dengan transmisi manual enam kelajuan standard bermula pada $23,195 (RM93,661), transmisi automatik lapan kelajuan bermula $23,995 (RM96,891). Cuma harganya ditambah $995 (RM4,017) untuk kos pengangkutan.
Must-Watch Video