Antarabangsa
Volvo Car Malaysia Bakal Lancar S60 T8 CKD Dan S90 Facelift Tahun Ini
Volvo Car Malaysia (VCM) bakal melancarkan dua model baharu menerusi S60 T8 CKD dan S90 dipertingkatkan (facelift) pada tahun ini.
Sebelum ini, model S60 T8 generasi ketiga itu hadir dengan versi import sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.
S60 T8 CKD dibina daripada platform Scalable Product Architecture (SPA) dan ia akan bersaing dengan lawannya dari Jerman seperti BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class,.
Dari segi reka bentuknya, ia tampak lebih bergaya dan agresif dengan penggunaan bampar hadapan jeriji enam-poin bersama logo iron mark, selain menggunakan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur ‘Tukur Thor’.
Bahagian belakangnya pula kelihatan seperti model S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Dari segi prestasi, ia dijana enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo dan supercharger yang menyalurkan 320hp dengan 400Nm dan turut didatangkan kotak gear lapan-kelajuan automatik.
Bagi model S90 Facelift pula, ia dikatakan ada pembaharuan dari segi lampu belakang dan jeriji hadapan yang lebih besar berbanding sebelumnya.
Buat masa ini, tidak maklumat lanjut berhubung jentera ini kerana ia masih belum lagi dilancarkan pada peringkat global.
Sementara itu, VCM turut melancarkan Pusat Latihan Serantau Volvo Car yang memainkan peranan penting untuk menjalankan latihan bidang teknikal dan bukan teknikal sebanyak 7,500 jam kerja bagi kakitangan dan pengedar kereta Volvo di seluruh rantau Asia Pasifik.
Pusat latihan itu dan perkhidmatan perkongsian yang lain seperti Kluster Kewangan, Hab Teknikal, dan Perolehan yang beroperasi di Malaysia dijangka menjana keuntungan perkhidmatan eksport lebih daripada RM100 juta dalam jangka masa antara 5 sehingga 7 tahun akan datang.
Pada masa sama, Volvo Car Malaysia turut mengumumkan pencapaian tahun lalu dengan mencatatkan rekod jualan tertinggi sebanyak 1,883 unit.
Ini membuktikan Volvo berjaya mencapai pertumbuhan tahun-ke-tahun tertinggi sebanyak 36.1 peratus bagi tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya.Selain itu, Volvo menawarkan kemudahan kepada pelanggannya dengan setiap pembelian kenderaan PHEV yang dibeli mulai 1 Januari 2020 akan didatangkan dengan jaminan bateri PHEV selama 8 tahun yang pastinya memberi kelegaan kepada pembeli kereta.
Sempena Tahun Baru Cina, Volvo menawarkan jualan menarik untuk model-model keretanya yang terpilih. Pembeli baharu Volvo XC40 T5 R-Design akan menikmati pakej penyelenggaraan percuma selama 5 tahun, atau dikenali juga sebagai VSA 5+. Untuk XC90 T5 Momentum and S90 T5 Momentum pula, pembeli layak mendapat ang pow bernilai RM23,888 bersama pakej VSA 5+.
Model-model PHEV terpilih juga didatangkan dengan Pakej ‘Recharge’ bernilai RM10,000 bersama pakej VSA 5+. Tawaran itu sah sehingga 29 Februari 2020.
Must-Watch Video