Apa yang anda lihat ini bukanlah XC40 biasa, sebaliknya ia adalah kereta elektrik pertama Volvo iaitu XC40 Recharge.

Menurut Volvo, ‘Recharge’ adalah label yang akan digunakan pada semua model elektrik dan hibrid plug-in keluarannya selepas ini. Syarikat itu merancang untuk melancarkan kereta elektrik setiap tahun untuk lima tahun akan datang.



Berbalik kepada XC40 Recharge, ia dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang telah diubah suai bagi memuatkan pek bateri di tengah-tengah, di mana ia dikelilingi oleh rangka aluminium.



Model ini dikuasakan oleh dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 408PS. Dengan kehadiran pek bateri lithium-ion berkapasiti 78kWh, SUV ini boleh dipandu sejauh 400km dengan satu cas penuh.



Bercakap tentang pengecasan, XC40 Recharge boleh dicas kepada 80 peratus dalam hanya 40 minit menggunakan sistem pengecasan pantas.

Penampilan model elektrik ini hampir sama dengan model standard, kecuali pada bahagian hadapan di mana jeriji XC40 Recharge tertutup sepenuhnya.



Begitu juga dengan bahagian dalaman, di mana perbezaan paling ketara adalah kehadiran Sistem Operasi Android Automotive yang membolehkan pemandu mengakses pelbagai servis Google seperti Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store menerusi paparan sistem infotainmen.



Selain itu, sistem operasi berkenaan juga diintegrasikan sepenuhnya dengan Volvo On Call, sebuah platform perkhidmatan digital yang menyediakan pelbagai data berkaitan kenderaan seperti status bateri, tahap pengecasan serta lokasi kenderaan.