Akhirnya, perincian tentang model Yamaha MT-09 edisi 2021 sudah didedahkan. Motosikal ini menerima peningkatkan kapasiti enjin yang lebih besar, naik taraf casis dan set elektronik baharu.


Pembaharuan bermula dengan aspek reka bentuk luaran yang kini boleh disaksikan pada wajah hadapan dan belakang. Jika dahulunya lampu depannya bermata dua yang nampak agresif, kini sudah menjadi mata bulat gaya siklops. Ini adalah penukaran bentuk lampu buat kali ketiga sejak 2016. Lampu utama adalah jenis projektor LED dengan dua lampu posisi dan nyalaan siang (DRL) jenis LED. Lampu belakang berbentuk huruf Y jenis LED.


Berhubung enjin, ternyata benar Yamaha sudah meningkatkan kapasiti enjin daripada 847cc kepada 890cc. Caranya ialah meningkatkan kadar lejang (stroke) daripada 59.1 milimeter (mm) kepada 62.1mm. Saiz gerek (bore) kekal pada 78mm. Perubahan kapasiti sebanyak 43cc ini dilakukan tanpa menjejaskan standard emisi piawaian sedia ada MT-09. Benar, kuasa enjin sudah meningkat kepada 118hp dengan tork 93Nm.


Cumanya, enjin MT-09 edisi 2021 ini masih ketinggalan kalau dibandingkan dengan output KTM 890 Duke R (119hp, 99Nm) dan Kawasaki Z900 (124hp, 99Nm). Apapun, MT-09 baharu berjaya pintas kuasa tork Triumph Street Triple RS (121hp) iaitu 79Nm.


Meneliti aspek mekanikal enjin, Yamaha dikatakan menukar setiap komponen dalaman blok enjin kepada jenis baharu. Ini termasuk omboh, rod sambungan, aci sesondol dan kotak engkol. Sistem penyampaian bahan api juga baharu iaitu injektor dipasang pada bahagian injap pendikit berbanding pada posisi asal di atas kepala silinder.


Ini dibuat bagi memastikan proses pengatoman bahan api (dipisahkan menjadi partikel kecil) untuk mengurangkan kejadian petrol melekat pada dinding port kemasukan. Kesannya,ada kenaikan 11 peratus efisien bahan api. MT-09 ada menerima Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) dengan ciri baharu Accelerator Position Sensor Grip (APSG) yang dikatakan memberi rasa tindak balas enjin lebih baik dan boleh dipercayai.


Sistem kemasukan enjin juga ditambah baik dengan pemasangan kotak pembersih udara tiga bolong, tujuan untuk tingkatkan rasa sensasi tarikan tork semasa tunggangan MT-09.


Yamaha turut menyelaras posisi tunggangan dengan menawarkan ciri penyelarasan bar hendal dan pemijak kaki. Penunggang boleh tetapkan posisi badan yang memberikan kedudukan terbaik sebaik sahaja duduk di atas motosikal. Tangki minyak dan pelana diubah semula bagi memastikan penunggang berasa seperti disatukan dengan motosikal MT-09.


Casis motosikal MT-09 baharu kini menggunakan frem aluminium tempaan CF Deltabox untuk dipadankan dengan peningkatan kuasa enjin. Frem baharu ini ada palang berkembar lebih besar dari kepala stereng ke bahagian lengan ayun. Ini membantu meningkatkan kestabilan semasa tunggangan. Lengan ayun juga jenis aluminium tetapi lebih ringan.


Sistem suspensi jenama KYB masih sama iaitu fork 41mm boleh laras sepenuhnya tetapi lebih ringan dipadankan untuk kesesuaian frem MT-09. MT-09 adalah model Yamaha kedua yang dipasang sistem brek depan YZF-R1. Ini membabitkan silinder utama radial Nissin iaitu piston berada dalam kedudukan selari dengan tuil brek. Teknologi ini membolehkan saluran tekanan hidraulik lebih linear kepada brek cakera berkembar untuk kawalan lebih baik.


Model ini kini ada teknologi canggih sensor Unit Unjuran Inersia (IMU) enam paksi. Teknologi ini mula dibangunkan untuk kegunaan YZF-R1 sejak 2015. Cumanya, IMU bagi MT-09 adalah 50 peratus lebih kecil dan 40 peratus lebih ringan. IMU pada MT -09 ini menawarkan:


Skrin instrumen Yamaha MT-09 edisi 2021 adalah lebih kecil iaitu 3.5 inci jenis TFT, tetapi paparan maklumat lebih baik. Motosikal ini juga kini dilengkapi ciri quickshifter up/down.


MT-09 menerima rim jejari 10 batang lebih ringan khususnya di belakang iaitu penjimatan berat 11 peratus berbanding model terdahulu. Walaupun berat keseluruhan susut lebih 3 kilogram, harga model ini ada peningkatan. Harga jualan disyorkan ialah AS$9,399 (RM39,034) iaitu ada kenaikan AS$400 (RM1,661) berbanding model tahun 2020 di Amerika Syarikat.