Siri FZ adalah rangkaian motosikal yang agak laris di India. Maka bukan satu kejutan jika Yamaha Motors India (YMI) memilih untuk memperbaharui saingan bersandarkan streetbike FZ.

YMI menerusi laman sesawangnya mengumumkan ketibaan streetbike FZ 25 versi naik taraf yang kini mematuhi standard piawaian baharu BS6 dengan sistem pancitan bahan api.



Bukan sahaja FZ 25 edisi 2020, tetapi Yamaha juga akan memperkenalkan FZS 25 yang akan menjadi varian tertinggi dalam keseluruhan siri FZ di India. Khabar mengenai ketibaan dua model ini sudah diketahui sejak bulan Februari lalu, namun pelancarannya pada bulan ini dikhuatiri akan terjejas disebabkan wabak Covid-19.

Yamaha FZ 25 edisi 2020 ini menerima naik taraf membabitkan aspek reka bentuk set lampu hadapan berwajah baharu dengan mengekalkan set lampu LED dan ciri pencahayaan DRL.



Instrumen meter jenis LCD kini memaparkan paparan jenis negatif iaitu berlatar belakang tona gelap. Antara maklumat disiarkan ialah trip meter, lampu indikator pemeriksaan enjin dan jarak kilometer semasa.

Selain itu, Yamaha turut memasang kowl bawah enjin dan juga tongkat sisi yang akan mematikan tren kuasa jika diturunkan ke permukaan tanah.



Enjin kapatisi 250 BS6 ini dengan padanan kotak gear lima kelajuan mampu menjana 20.8hp pada 8,000rpm dengan tork 20.1Nm pada 6,000rpm. Sebagai perbandingan, siri FZ sebelum ini dengan piawaian BS4 mampu menghasilkan 20.9hp dan 20Nm dengan julat rev hampir sama.

Model FZ 25 ini mengalami peningkatan jumlah berat kasar sebanyak 1 kilogram (kg) kepada 153kg. Ciri lain seperti sistem brek antikunci dua saluran dikekalkan pada model ini. YMI menawarkan dua warna baharu iaitu metalik hitam dan Racing Blue untuk FZ 25 (2020).



Bagi varian FZS 25, ia dipercayai menggunakan enjin sama seperti FZ 25 tetapi diberi tambahan aksesori baharu seperti gad tangan, penghadang angin bersaiz besar, rim sport berwarna emas.

Pilihan warna untuk streetbike FZS 25 merangkumi hijau, biru dan putih. Cuma warna badan putih diberikan rim berwarna hitam manakala dua lagi warna lain didatangkan dengan rim emas. Model FZS 25 pula dikatakan akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini. Setakat ini,YMI belum membuat pengumuman tentang harga jualan kedua-dua model ini.