Yamaha Jepun mengumumkan pengenalan warna baharu untuk model BW S125, iaitu satu varian skuter adventure bersaiz kecil dalam portfolio produknya.

Warna baharu iaitu kelabu hitam ini akan dijual bersama skuter BW S125 kuning yang sedia ada dalam pasaran. Jualan skuter warna versi gelap ini akan bermula pada 25 April ini.



Skuter BW S125 ini adalah komuter urban tetapi menawarkan gaya adventure dengan reka bentuk binaan khas untuk mereka yang mahu kelainan.

Skuter yang akan dihasilkan oleh Yamaha Motor Taiwan ini dilengkapi dua unit lampu utama berkonsepkan rekaan asimetri dan tiga dimensi menyumbang kepada rasa tunggangan gaya aktif. Lampu belakang pula berbentuk poligon tiga dimensi.



Meter pada skuter ini adalah jenis digital LCD yang agak besar saiznya yang dipasang pada bahagian tengah atas bar hendal. BW S125 juga dipasang gad tangan seperti motosikal rali.

Pengguna boleh menyimpan seunit helmet di bawah tempat duduk bersama bebrapa barangan kecil. Sistem suspensi adalah jenis fork teleskopik dengan padanan absober berkembar di belakang.



Skuter seberat 119 kilogram ini menggunakan tayar bercorak blok besar untuk menguatkan gaya adventure. Saiz tangki minyak ialah 6.5 liter.

Yamaha BW S125 ini menggunakan enjin silinder tunggal 124cc yang boleh menghasilkan kuasa 9.8ps pada 7500rpm dan tork 9.9Nm pada 6000rpm. Harga skuter ini ialah 335,500 yen (RM13,580).



Sumber: Yamaha Japan