Watch

Yamaha RD 250 Asli Yang Memukau.

gempak
Public Anonymous User
12/02/2020
04:48 MYT
Sponsor Banner
Yamaha RD 250 Asli Yang Memukau.
Yamaha RD 250 adalah sebuah jentera buatan Jepun yang dilahirkan dengan enjin dua lejang menggunakan dua silinder selari.
Mula dilancarkan sejak 1973 hingga 1987 yang mempunyai dua jenis penyejuk enjin berbeza.
Pada awal pengeluarannya sehingga 1979, ia menggunakan penyejuk udara dan ditukar kepada cecair bagi jentera yang dihasilkan bermula 1980.
Selain Malaysia, motosikal itu dikenali RZ 250 di pasaran Australia dan Jepun. Ia turut mempunyai beberapa varian seperti RD 250LC, RD 250LC-II dan RD 250 YPVS.
Jentera pilihan drebar.my kali ini menampilkan jentera RD 250 dengan enjin YPVS bersesaran 249cc milik seorang pekerja bank di Ipoh, Perak.
Sebelum bercerita jentera keluaran 1984 milik Mohd Zainurin Subil, 48, mungkin ramai yang tidak tahu apa itu YPVS.
YPVS adalah singkatan ‘Yamaha Power Valve System’. Enjin ini hanya boleh didapati pada jentera Yamaha yang mempunyai enjin penyejuk cecair seperti Yamaha varian RD dari RD125 hinggalah RD500 dan TZR serta YZ.
Sistem injap itu berada pada silinder yang dihubungkan bahagian atas ekzos oleh enjin ‘servo’ lalu mengawalnya dari satu kotak kawalan dengan mengambil maklumat dari CDI seterusnya meningkatkan sistem kuasa sedia ada.
Melihat jentera itu, pasti ramai yang ‘geram’ untuk memilikinya kerana boleh dikatakan 95 peratus masih mengekalkan komponen asli.
Apa yang diubah suai hanya menukar monoshock belakang jenis Showa menjadikan ia tidak lagi asli. Namun pemiliknya tidak kisah berikutan komponen asal itu tidak mampu lagi berkhidmat kepada jentera ini kerana sudah berusia.
Bukan sahaja enjin, malah ekzos 51L, karburetor 29L wayar tunggal, lampu, pelekat badan, brek cakera depan dan belakang, rim semuanya masih asli yang dijaga rapi.
Lebih mengejutkan, enjin jentera ini mampu memecut 200 kilometer sejam (km/j) tanpa sebarang masalah.
Menurut Mohd Zainurin, jentera berkenaan diwarisi dari keluarganya dan sememangnya diibaratkan seperti 'harta’. Katanya, dia tidak akan menjualnya walaupun sebelum ini banyak pihak bertanyakan jentera kesayangannya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live