Tempatan

Yamaha Y16ZR Kini Lancar di Malaysia, Harga Bermula RM10,888

gempak
Erywan
18/03/2021
11:47 MYT
Sponsor Banner
Yamaha Y16ZR Kini Lancar di Malaysia, Harga Bermula RM10,888
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tidak menunggu lama untuk melancarkan moped yang ditunggu-tunggu masyarakat tempatan menerusi Y16ZR. Ini satu perkara yang agak baharu apabila HLYM mengambil masa yang singkat untuk membawa masuk motosikal itu selepas ia dilancarkan secara global di Vietnam pada Disember tahun lalu.
Nampaknya, kita mendahului jiran lain termasuk Indonesia dan Thailand apabila menjadi negara kedua menerima model berkenaan. Model yang juga dikenali sebagai Exciter di Vietnam itu kini menerima pembaharuan menyeluruh termasuk pada bahagian panel badan, enjin, transmisi serta kelengkapan lain.
Dari segi enjin ia menggunakan rangkaian kuasa seperti R15 dan MT-15 iaitu silinder tunggal berseseran 155cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA). Enjin itu menyalurkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm dan disalurkan ke kotak gear enam kelajuan yang turut dipadankan (klac slip & assist). Ia naik 3hp berbanding Y15ZR generasi pertama dan kedua.
Perubahan lain boleh dilihat pada reka bentuk baharunya. Pelana juga hadir rekaan baru dengan mempunyai bentuk yang lebih sporty. Di bawahnya, ia menggunakan tangki bahan api yang lebih besar iaitu 5.4 liter, berbanding Y15ZR generasi sebelum ini hanya 4.2 liter. Apa yang paling menariknya adalah bentuk kepalanya. Jika lihat pada bahagian meter di kepalannya pula, ia dipadankan dengan ciri digital LCD baru yang menyalurkan pelbagai maklumat membabitkan kelajuan, rpm serta posisi gear.
Pada bahagian itu juga, ia dipadankan lampu hadapan LED, selain mempunyai lampu siang (DRL) di bahagian bawah dan signal di bahagian tepi. Rekaan lampu belakangnya juga tampil dengan bentuk baharu. Fungsi ini agak menarik bagi model moped atau kapcai. Untuk pengendaliannya, ia menggunakan fork hadapan pula ditala semula untuk menjadi lebih tinggi 10 mm (kini 100 mm). Monoshock belakang pula didatangkan dengan pelindung baru.
Bagi memberhentikan moped itu, ia menggunakan brek cakera di hadapan dan belakang dimensi. Rodanya, ia dilengkapkan dengan rim 17 inci dengan tayar 90/8 di hadapan dan 120/70 di belakang. Dari segi harganya pula, ia dijual pada RM10,888 dan ia boleh didapati di pengedar bermula 31 Mac ini. Ia ditawarkan dengan tiga warna iaitu biru, kuning dan perak.
Bagi model Y15ZR, HLYM masih menjualnya untuk pasaran Malaysia. Kini ada dua model Y untuk pasaran tempatan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024