Gegar Vaganza 6
Kontroversi Tatatutur GV: Jihan Cuba Tak Terlalu Agresif... "Masih Jihan Sama Cuma Berhijab Je"
Hos tetap rancangan hiburan popular Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Jihan Muse berjanji untuk cuba mengawal percakapan dan perilaku ketika mengendalikan acara itu selama lapan minggu.
Jelas Jihan, dia bagaimanapun akan masih menjadi dirinya sendiri dan mengemudi rancangan itu bersama Nabil Ahmad mengikut cara mereka seperti sediakala.
"Saya pasti Nabil tak akan buat perkara yang akan memalukan dirinya sendiri, sama juga seperti saya selaku hos rancangan yang ditonton oleh segenap lapisan masyarakat setiap minggu.
"Dia (Nabil) pun akan bantu saya dari semasa ke semasa.
"Saya masih Jihan yang sama cuma yang berbeza sekarang ialah sudah berhijab dan pastinya saya akan cuba menjaga hijab mulut.
"Apapun, rancangan ini akan berjalan mengikut aturannya, kami 'go with the flow' dan cuba tidak terlalu agresif," katanya.
Tambah Jihan lagi, dia akan menjadi dirinya sendiri sepertimana kebiasaannya mengendalikan sesebuah rancangan atau majlis.
"Terpulanglah pada yang mahu menilai cara saya menjadi pengacara, itulah diri saya," ujarnya.
Sementara itu, kata Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, pihaknya akan cuba mengelakkan daripada rancangan GV6 berdepan kontroversi yang tidak sepatutnya.
"Harus diakui GV sebelum ini ada terpalit dengan pelbagai kontroversi dan ia berlaku secara spontan.
"Kita tidak mahu terlalu mengawal kreativiti pengacara kita mengendalikan rancangan itu.
"Adanya GV6 kerana mereka juga. Tetapi kami akan cuba pantau agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini," jelas Raqim.
GV6 akan memulakan siarannya selama lapan minggu pada 13 Oktober ini.
Antara penyanyi yang akan bertanding kali ini ialah Wann, Sham Visa dan Noorshila Amin.
Turut bersaing dengan mereka ialah Naqiu Boboy, Jatt, Roy, Ameer Sofazr, Hady Mirza, Mazleela, Feeza, Nurfatima dan kumpulan Kool serta One Nation Emcees.
Must-Watch Video