Gegar Vaganza 7
Mus, Noraniza Idris, Yantzen & Ayu Damit Antara Bintang GV7! Ini Senarai Penuh 14 Bintang
Program realiti popular Gegar Vaganza (GV) kembali dengan musim ketujuh dan antara bintang yang bakal berentap kali ini ialah Mus May, Noraniza Idris, Yantzen dan Ayu Damit.
Penganjuran musim ketujuh yang mengangkat tagline ‘Mara Suara Membara’ GV7 yang bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu ini juga turut mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini.
Selain Mus, Noraniza, Yantzen dan Ayu, 10 lagi bintang yang bakal menghangatkan pentas GV7 ialah Rozita Izlyn, Haslienda, Linda Nanuwil, Asyira, Cliff Umar (vokalis Projek Pistol), Oja, Aju (vokalis kumpulan Success) dan Nomad.
Sementara dua lagi bintang yang melengkapkan 14 bintang GV7 terdiri daripada dua buah kumpulan popular era 90an, iaitu Indigo dan Eva.
GV7 juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Sementara itu Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, GV7 kali ini menampilkan seorang sahaja penyertaan negara jiran, iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura.
“Mengenai penyertaan dari negara jiran seperti musim-musim sudah kerana edisi kali ini cuma menampilkan seorang sahaja wakil luar iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura yang kini menetap di Malaysia.
“Seperti yang semua sedia maklum, 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar buat seluruh dunia ekoran penularan pandemik COVID-19. Krisis berkenaan telah membataskan banyak perancangan Astro termasuk produksi GV sendiri yang sebetulnya sudah mempunyai senarai artis dari negara jiran yang ingin kami pelawa untuk bersama-sama memeriahkan musim ini.
“Namun begitu, segala perancangan yang diatur terpaksa ‘disimpan’ untuk dibawa ke musim hadapan atas faktor keselamatan selain terikat dengan syarat SOP yang ketat.
“Dalam masa sama, kami turut berpendapat bahawa ada hikmah di sebalik ujian yang melanda kerana penganjuran GV kali ini menampilkan dominasi penyertaan artis tempatan.
“Bertepatan pula dengan semangat solidariti seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik, maka ada manisnya apabila penganjuran kali ini membuka peluang kepada penghibur tempatan.
“Justeru, pentas GV7 ini secara rasminya dibuka untuk meraikan mereka dan semoga setiap peserta akan merebut peluang yang diberikan ini,” katanya.
Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.
Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.
Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.
Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.
Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.
Must-Watch Video