Teka-teki berhubung isu berkaitan Latihan Khidmat Ketenteraan kumpulan K-Pop terkenal dunia, BTS akhirnya terjawab.

Berita itu dimaklumkan oleh agensi mereka, BIGHIT MUSIC dalam satu kenyataan rasmi menerusi applikasi Weverse sebentar tadi.

Menurut BIGHIT MUSIC, penyertaan BTS dalam Latihan Khidmat Ketenteraan akan dimulakan dengan Jin.

“BIGHIT MUSIC mengumumkan bahawa BTS akan memenuhi perkhidmatan tentera mereka. Selepas konsert Busan untuk World Expo 2030 dan setiap dari mereka memulakan usaha dengan solo, ini merupakan masa terbaik buat BTS untuk berkhidmat.

“Penyertaan itu akan dimulakan dengan Jin sebaik sahaja jadual solonya dikeluarkan dan dijangka selesai pada penghujung Oktober.

“Dia kemudiannya akan mengikuti prosedur pendaftaran kerajaan Korea. Ahli kumpulan lain juga merancang untuk menjalankan perkhidmatan ketenteraan mereka berdasarkan rancangan individu mereka sendiri.

“BTS juga menyatakan rasa tidak sabar untuk bertemu peminat dan berkumpul semula sebagai sebuah kumpulan pada tahun 2025 kelak berikutan komitmen terhadap latihan ketenteraan mereka,” jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu, isu mengenai pengecualian penyertaan BTS untuk Latihan Khidmat Ketenteraan sering menjadi topik hangat dalam netizen di Korea.

Sekadar info, di bawah undang-undang Korea Selatan, kemampuan fizikal lelaki muda boleh menyertai perkhidmatan tentera wajib selama 18 sehingga 21 bulan.

Namun terdapat pengecualian istimewa diberikan buat para atlet, ahli muzik klasikal dan tradisional, balet dan penari lain yang telah memenangi anugerah tertinggi dalam beberapa pertandingan untuk mempertingkatkan prestij kebangsaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU