Anggota kumpulan K-Pop WINNER, Mino menerima kritikan netizen dan didakwa tidak mempedulikan cadangan kerajaan Korea mengenai penjarakan sosial selepas mengadakan persembahan di sebuah kelab malam baru-baru ini.

Menerusi laporan portal eksklusif terkenal Korea, Dispatch, Mino didapati hadir ke hari pembukaan sebuah kelab yang terletak di Gangwon pada 3 Mei lalu.

Lebih mengejutkan netizen apabila Mino telah membuat persembahan dengan mengambil mikrofon sebelum menggunakan kawasan DJ untuk mempersembahkan lagu hitnya berjudul FIANCE.

Sewaktu persembahan berlangsung, dilaporkan begtu ramai penonton telah berkumpul disekitarnya.

Kebanyakan daripada mereka memakai topeng namun tidak memakainya dengan betul. Hanya setakat paras dagu dan bukan di hidung atau mulut.

Bagaimanapun seorang pegawai dari kelab tersebut memberitahu Dispatch mereka tidak mengundang Mino untuk membuat persembahan selain mempertahankan diri dengan mengatakan bahawa kelab itu kosong.

“Mino hanya datang untuk berhibur. Kami tidak menjemputnya secara rasmi untuk membuat persembahan.

“Hampir tidak ada pelanggan di kelab ini pada ketika itu. Tiada pelanggan kerana hari tersebut merupakan hari akhir percutian.

“Sebilangan besar pelanggan kami yang ada di kelab pada hari itu adalah rakan-rakan Mino,” jelasnya.

Terdahulu, 1 hingga 5 Mei dianggap sebagai masa percutian emas bagi Korea kerana dijangkakan lebih ramai orang yang akan mengambil cuti dan berjalan.

Disebabkan itu juga pihak kerajaan Korea menekankan langkah-langkah mengenai penjarakan sosial perlu dilakukan.

Kelab malam juga harus mematuhi prosedur yang ditetapkan antaranya menyediakan pembersih tangan, memeriksa demam, mencatat senarai pengunjung dan memakai topeng.

BACA: Kluster Kelab Malam Itaewon, Korea Kembali Catat 102 Kes Baharu

Namun hanya beberapa pelanggan sahaja yang mematuhi garis panduan berkenaan sehingga menyebabkan timbulnya kluster baru iaitu kluster kelab malam Itaewon.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Sumber: Dispatch/Koreaboo