Youtuber popular Korea Selatan, Daud Kim mengaku menggunakan Islam untuk meraih populariti di laman sosial tersebut.

Daud yang memiliki ramai pengikut dari Malaysia dan Indonesia itu turut memohon maaf kepada umat Islam seluruh dunia kerana mempermainkan agama Islam demi mengejar keseronokan.

“Saya mengaku menggunakan Islam hanya untuk meraih tontonan dan keseronokan tanpa mengambil kira hukum hakam agama.

“Saya berlakon jadi baik di hadapan kamera untuk raih populariti walaupun saya sebenarnya bukan begitu. Saya bertaubat dan minta maaf kepada yang menyokong saya selama ini.

“Selepas saya masuk Islam, saya banyak melakukan perbuatan terkutuk. Saya masih mabuk, minum arak dan pergi ke kelab malam. Saya juga keluar dengan ramai wanita.

“Saya minta maaf kepada semua orang Islam. Disebabkan saya, imej Islam tercalar dan keikhlasan muslim di Korea jadi pertikaian. Saya minta maaf. Jangan salahkan Islam tapi salahkan saya.

“Saya bertaubat, saya menyesal dan berjanji akan menjadi muslim yang baik dan mengubah diri mengikut ajaran Islam yang sebenar. Saya juga akan berehat daripada media sosial supaya dapat muhasabah diri,” katanya menerusi video pengakuan yang dimuat naik di saluran Youtubenya, Daud Kim, dua hari lalu.

Video tersebut dirakam Daud Kim untuk memohon maaf terhadap kenyataannya terdahulu yang menafikan telah merogol seorang wanita.

“Tujuan saya merakam video ini untuk membuat pengakuan yang memang saya merogol mangsa. Memang benar saya mabuk.

“Saya berbohong sebelum ini. Saya tidak fikir tentang keadaan emosi mangsa sehingga menjadi bahan kecaman orang ramai.

“Ya, saya sudah menghubungi mereka dan berasakan perbuatan saya teruk. Saya telah menyebabkan mangsa trauma, nak keluar rumah dan buat posting di media sosial pun jadi takut.

“Saya berdosa terhadap mangsa, saya rayu kepada anda semua agar tidak lagi meninggalkan komen buruk terhadap mangsa dan rakannya,” katanya.

Dalam pada itu Daud Kim turut mengakui sudah berkahwin tiga tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki.
&;